KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong, didapati mengalami kecederaan koyak otot di bahagian belakang, selepas menjalani pemeriksaan di Institut Sukan Negara (ISN) hari ini.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh, yang turut mengesahkan bahawa pemain berusia 23 tahun itu, tidak akan beraksi pada Terbuka India bermula 16-21 Jan.

"Sebentar tadi saya dapat makluman daripada (jurulatih perseorangan lelaki Datuk) Tey Seu Bock bahawa Tze Yong selesai pemeriksaan di ISN, dan mendapati bahawa kecederaan otot belah belakang.

"Buat masa ini, hanya tarik diri daripada Terbuka India, tetapi untuk minggu berikutnya bagi Indonesia Masters, barisan kejurulatihan akan terus memantau keadaan beliau (sebelum membuat keputusan)," katanya ketika ditemui pemberita di Axiata Arena semasa kejohanan Terbuka Malaysia 2024.

Tze Yong pemain di ranking dunia ke-15, terpaksa menarik diri daripada pusingan pertama Terbuka Malaysia ketika ketinggalan 8-12 dalam set pertama, menentang Koki Watanabe dari Jepun pada Rabu, kerana disyaki mengalami kecederaan belakang ketika mahu membuat smesy.

Ia menyaksikan tiada seorang pun wakil perseorangan negara mara ke pusingan kedua selepas pemain profesional Lee Zii Jia, turut tumpas 21-16, 19-21, 15-21 kepada Lu Guang Zu dari China pada pusingan pertama, Selasa lepas.

Tze Yong diharapkan untuk segera sembuh dan kembali menampilkan prestasi baik pada Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), bagi mengesahkan tiket ke Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Dengan Zii Jia menduduki tempat ke-11 dalam ranking kelayakan Olimpik, Tze Yong yang berada di kedudukan ke-13 perlu memastikan beliau tidak terkeluar daripada kelompok 16 teratas dalam ranking berkenaan.

Sebuah negara hanya boleh mempunyai maksimum dua wakil dalam acara perseorangan, jika kedua-duanya berada di kedudukan 16 teratas semasa tempoh kelayakan Olimpik setahun berakhir pada 28 April ini.

-- BERNAMA