SUKAN
Chelsea sambar kapten termuda Ajax, Jorrel Hato

Hato melakukan penampilan sulung bersama skuad senior Belanda pada 2023 ketika menentang Gibraltar dan setakat ini telah mengumpul enam kaps antarabangsa. - Foto Chelsea
JUARA Piala Dunia Kelab, Chelsea mengesahkan kehadiran pertahanan muda sensasi Ajax Amsterdam, Jorrel Hato dengan nilai perpindahan £37 juta (RM208 juta) menjadikannya rekrut kelapan kelab itu pada jendela perpindahan musim panas ini.
Pertahanan berusia 19 tahun itu melengkapkan ujian perubatan di London hujung minggu lalu sebelum menandatangani kontrak selama tujuh tahun bersama kelab berkenaan.
"Saya sangat teruja dan gembira berada di sini.
"Saya telah berfikir panjang mengenai masa depan dan merasakan ini masa terbaik untuk mengambil langkah seterusnya dalam kerjaya."Chelsea adalah tempat terbaik untuk berkembang, jadi saya amat gembira,” kata pemain kebangsaan Belanda itu.
Hato merupakan produk akademi Ajax dan mula mencuri perhatian apabila membuat penampilan sulung bersama skuad utama pada usia 16 tahun.
Mampu beraksi di posisi bek kiri dan bek tengah, pemain kelahiran Rotterdam itu mencipta sejarah apabila dilantik sebagai kapten Ajax ketika baru berusia 17 tahun sebelum mengumpul 111 penampilan kompetitif untuk kelab Belanda tersebut.
Hato turut melakukan penampilan sulung bersama skuad senior Belanda pada 2023 ketika menentang Gibraltar dan setakat ini telah mengumpul enam kaps antarabangsa.
Berdasarkan rekod, dia merupakan pemain ketiga termuda Ajax yang pernah beraksi dalam saingan Eredivisie selepas Clarence Seedorf dan Ryan Gravenberch.
Sejak kemunculan sulung itu, Hato menjadi tonggak utama Ajax dengan statistik luar biasa apabila merekodkan 8,347 minit permainan di semua kejohanan sejak musim 2023/24, iaitu paling tinggi dalam kalangan pemain kelahiran selepas 1 Januari 2003 daripada enam liga utama Eropah.
Angka itu mengatasi minit permainan Jude Bellingham (7,988) dan Lamine Yamal (7,506). - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami