Perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan ke pentas akhir Kejohanan Dunia 2013 di Guangzhou, apabila menewaskan pemain muda China, Du Pengyu dalam pertarungan tiga set.

Chong Wei gagal memulakan perlawanan dengan baik, apabila tumpas 20-22 dalam aksi set pertama, namun menjelmakan kebangkitan di dua set berikutnya dengan kemenangan 21-12,21-15.

Menanti Chong Wei di final, ialah seteru utamanya, Lin Dan yang menewaskan pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh 21-17,21-15 dalam satu lagi aksi separuh akhir lelaki.

Dalam saingan perseorangan wanita, Li Xuerui mara ke final apabila menewaskan pemain Korea Selatan, Bae Yeon Ju 21-5,21-11.

Menentinya di final ialah pemain Thailand, Ratchanok Intanon yang menewaskan Sindhu P.V dari India 21-10,21-13 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Saingan beregu lelaki menyaksikan pasangan Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan melakar kejutan ke atas pasangan tuan rumah, Cai Yun-Fu Haifeng menerusi kemenangan 21-19,21-17.

Ahsan-Setiawan akan berdepan pasangan berpengalaman Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen di pentas final selepas pasangan ini menewaskan gandingan Korea, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang 21-23,21-18,21-18.

Dalam saingan beregu wanita, gandingan Korea, Eom Hye Won-Jan ye Na ke final selepas mengatasi pasangan China, Tian Qing- Zhao Yunlei 21-16,21-19.

Menanti mereka di pentas akhir ialah satu lagi pasangan China, Wang Xiaoli- Yu Fang yang menundukkan pasangan Denmark, Christina Pedersen-Kamilla Rytter Juhl 21-14,14-21,21-15.