KUALA LUMPUR: Ketua kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo, Datuk Lee Chong Wei tidak akan ke Jepun atas faktor kesihatan dan nasihat doktor yang tidak membenarkannya ke luar negara.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mengesahkan perkara itu berkata, Chong Wei akan mengekalkan jawatan CDM berkenaan berdasarkan pendirian dibuat oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Beliau berkata, Chong Wei akan memantau perjalanan atlet di Tokyo selain memberi nasihat serta kata-kata semangat secara maya dari sini sehinggalah temasya sukan terbesar dunia yang bermula 23 Julai ini melabuhkan tirainya pada 8 Ogos.

"Kami tetap pendirian dengan MOM untuk mengekalkannya sebagai CDM kerana Chong Wei merupakan nama yang amat besar dan signifikan serta cukup kuat dalam hati, sanubari dan minda rakyat Malaysia.

"Aspek pengurusan atlet di Tokyo pula akan dikelolakan Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib dan beliau juga akan tinggal bersama mereka di perkampungan sukan di sana nanti," katanya dalam satu audio dikongsi kepada media hari ini.

Reezal Merican berkata demikian selepas meninjau persediaan dan persiapan akhir kem badminton negara bagi Sukan Olimpik di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini.

Beliau berkata, ketiadaan Chong Wei di Tokyo bukanlah satu masalah kerana hakikatnya, edisi kali ini berlangsung dalam keadaan yang cukup berbeza ekoran pandemik COVID-19 dan memberi jaminan pemenang tiga pingat perak berturut-turut Olimpik itu akan terus berhubung dengan kem Malaysia tanpa sebarang kekangan.

Beliau pada masa sama menghargai kegigihan dan kesungguhan Chong Wei untuk kekal bersama kontinjen Malaysia dan diharap semangatnya mampu memberi kejayaan kepada atlet membawa pulang pingat di Sukan Olimpik Tokyo.

Sementara itu, Reezal Merican memaklumkan akan membuat pengumuman mengenai sasaran pingat kontinjen negara pada Sukan Olimpik Tokyo kira-kira seminggu sebelum temasya sukan itu bermula.

Mengenai tinjauannya hari ini, beliau dimaklumkan oleh Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann bahawa tahap persediaan kem badminton negara ke Tokyo Olimpik kini berada pada tahap 95 peratus dan pemain dijangka mencapai tahap kemuncak prestasi sebelum berlepas ke Jepun pada 17 Julai.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan selain giat menjalani program latihan yang khusus, para pemain turut mengikuti sesi perkhidmatan psikologi yang menjadi aspek utama dalam fasa akhir ini bagi membantu mereka mengekalkan tahap motivasi dan fokus kepada latihan serta pertandingan.

Seramai lapan pemain badminton bakal menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik Tokyo terdiri daripada Lee Zii Jia (perseorangan lelaki); Soniia Cheah (perseorangan wanita); Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki); Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran). - BERNAMA