BINTANG bola sepak, Cristiano Ronaldo menggesa agar semua orang mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan badan-badan kesihatan dalam menangani wabak COVID-19.

Menurutnya, dunia kini berdepan dengan situasi yang agak sukar dan memerlukan penglibatan serta kerjasama semua pihak.

“Saya bercakap kepada anda pada hari ini bukan sebagai pemain bola sepak, tetapi seorang manusia yang sangat mengambil berat tentang perkembangan terbaharu yang dihadapi dunia ketika ini.

“Adalah penting untuk kita semua mematuhi serta mengikuti apa yang disarankan oleh WHO dan badan berkaitan dalam memerangi penularan wabak ini,” tulis Ronaldo menerusi muat naik di akaun Instagram pada Sabtu.




Selain itu, Ronaldo juga turut menyatakan rasa simpati kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga dan orang tersayang serta yang dijangkiti virus pembunuh itu.

Malah, pemain bola sepak itu juga menyatakan sokongan terhadap petugas kesihatan yang bertugas merawat mangsa yang dijangkiti COVID-19.

Terdahulu, pemain pertahanan kelab itu, Daniele Rugani, dilaporkan positif COVID-19 selepas terlibat dalam perlawanan di antara Juventus dan Inter Milan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, kesemua pemain kedua-dua pasukan ini akan diletakkan dalam tempoh kuarantin.