KUALA LUMPUR: Bekas pemain perseorangan lelaki negara Liew Daren akan berpisah dengan Lee Zii Jia, selepas hampir dua tahun berkhidmat sebagai penolong jurulatih pemain nombor 11 dunia itu.

Menurut pihak pengurusan Zii Jia, Team LZJ yang mengesahkan perkara itu menerusi Instagram semalam, Daren mengambil keputusan itu atas alasan peribadi.

"Selepas perbincangan hati ke hati, Team LZJ dengan berat hati bersetuju untuk menerima peletakan jawatan Liew Daren daripada pasukan. Kami menghormati keputusan beliau yang diambil atas alasan peribadi.

"Daren merupakan komponen penting pasukan sejak hari pertama dan telah memainkan peranan utama dalam pembangunan Team LZJ. Beliau akan dirindui oleh semua dalam pasukan. Justeru, pintu sentiasa terbuka untuk Daren di Team LZJ," menurut kenyataan itu.

Daren yang mewakili Malaysia sebagai perseorangan lelaki profesional bersara April lepas dan kemudian melaksanakan tugas membimbing Zii Jia sebagai pembantu jurulatih secara sepenuh masa.

Beliau, sebelum itu melakukan dua pekerjaan itu (perseorangan lelaki profesional dan pembantu jurulatih) sejak Mac 2022.

Daren, 36, pernah mencapai ranking ke-10 dunia dan merupakan sebahagian daripada pasukan negara yang memenangi emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2014, selain menjuarai Terbuka Perancis pada Oktober 2012, menewaskan pemain Denmark Viktor Axelsen.


-- BERNAMA