JARINGAN pada waktu kecederaan oleh pemain tengah, Tom Davies, membolehkan Everton mengutip satu mata selepas mengikat Southampton 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, awal pagi tadi.

Selepas menewaskan Huddersfield Town 2-0 dalam aksi sebelum ini, Sam Allardyce melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utama apabila beraksi tanpa Wayne Rooney dan Theo Walcott sambil mempertaruhkan Davies dan Yannick Bolasie.

Beraksi di laman sendiri, The Toffees hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-13 apabila hantaran lintang Seamus Coleman menemui Cenk Tosun di dalam kotak penalti tetapi tandukan bekas peledak Besiktas itu melewati palang gol.

Pelawat juga hampir meletakkan diri di depan tujuh minit kemudian menerusi Charlie Austin, namun sepakan separuh voli oleh penyerang berusia 28 tahun itu diselamatkan oleh Jordan Pickford.

Setelah separuh pertama berakhir tanpa jaringan, gol yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba buat pelawat pada minit ke-56 apabila Dusan Tadic melorongkan bola buat Cedric Soares sebelum pemain dari Portugal itu melakukan hantaran lintang untuk ditanduk masuk oleh Nathan Redmond menewaskan Pickford.

Tersentak dengan gol lawan, Everton membawa keluar Nikola Vlasic dan memasukkan Oumar Niasse dua minit kemudian.

Kemasukan pemain yang pernah berkelana bersama Lokomotiv Moscow itu jelas memberi kesan besar kepada pasukan menerusi kelincahan dan hantaran yang berbahaya buat lawan.

Kelibat Niasse ternyata memberi masalah buat The Saints sehingga memaksa Maya Yoshida diperintah keluar padang akibat kad kuning kedua selepas melakukan bentesan keras terhadap penyerang dari Senegal itu.

Tatkala aksi memasuki waktu kecederaan dan bakal berakhir dengan kemenangan buat Southampton, Davies muncul wira buat anak-anak buah Allardyce.

Kesilapan Ryan Bertrand yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya pantas dihidu pemain berusia 19 tahun itu sebelum melepaskan rembatan yang terkena Wesley Hoedt dan menerjah ke dalam gawang lawan untuk memastikan Everton tidak berputih mata di laman sendiri.

Keputusan di Goodison Park itu juga menyaksikan Southampton masih berdepan risiko bakal diturunkan ke Liga Kejuaraan pada musim depan selepas hanya dibezakan satu mata dengan pasukan di tangga ke-18 dan 19, Swansea City dan West Bromwich Albion.