AJAX mengumumkan bahawa pengurus, Maurice Steijn, telah meninggalkan kelab Eredivisie itu berkuat kuasa serta-merta.

Pemecatan Steijn berlaku susulan kekalahan 3-4 di Utrecht yang menyaksikan gergasi Belanda itu hanya satu mata dipisahkan dari zon penyingkiran selepas hanya mencetak satu kemenangan daripada tujuh perlawanan terawal.

Steijn menandatangani kontrak tiga tahun dengan kelab itu pada musim panas ini sebaik meninggalkan Sparta Rotterdam yang dikemudinya untuk meraih tempat keenam musim lalu.

Ketua Eksekutif Ajax, Jan van Halst, berkata: “Kami bersama-sama telah bekerja dengan gigih dan profesional sejak beberapa bulan lalu.

“Tetapi kami kurang berjaya termasuk dalam aspek pembangunan pasukan. Itulah sebabnya kami memutuskan untuk berbincang.

“Kali ini Maurice sendiri menyatakan kebimbangannya dan mempersoalkan adakah dia adalah sosok yang tepat di tempat yang betul. Kami akhirnya sepakat memutuskan adalah lebih baik untuk berpisah.”

Ajax berdepan isu penyokong musim ini apabila perlawanan menentang Feyenoord terpaksa ditamatkan secara tertutup, manakala kekalahan di Utrecht juga digantung buat sementara di hujung perlawanan.

Hedwiges Maduro telah dilantik sebagai pengurus sementara bermula dengan kunjungan ke Brighton bagi kempen Liga Europa. - Stadium Astro