JORDAN Henderson berpendapat misi England untuk menumbangkan Jerman dalam pusingan 16, Euro 2020, boleh dicapai andai mereka dapat menjauhkan bola daripada Toni Kroos sekerap mungkin.

Pasukan bimbingan Gareth Southgate itu menjuarai peringkat kumpulan dengan mengumpul tujuh mata hasil bertemu Croatia, Scotland dan Republik Czech tanpa dibolosi bagi menjamin kemaraan ke pusingan kalah mati di Stadium Wembley, Rabu depan.

Mereka akan menentang Jerman buat kali ketiga dalam Kejohanan Eropah dan yang pertama di peringkat kalah mati sejak The Three Lions terkandas dalam separuh akhir edisi Euro 96 melalui penentuan penalti yang gagal disempurnakan Southgate.

Pasukan kendalian Joachim Low itu pula melolosi cabaran sengit Kumpulan F yang menyaksikan gol penyamaan lewat Leon Goretzka ketika menentang Hungary pada hari ketiga perlawanan memastikan mereka menamatkan kempen awal berkenaan di belakang Perancis dan di atas Portugal hasil rekod pertemuan di antara kedua-dua pasukan.

Walaupun laluan England agak tenang - dua kemenangan 1-0 dan seri tanpa gol dengan Scotland - Jerman mengungguli pertemuan getir dengan Portugal sebelum bergelut ketika seri 2-2 dengan Hungary selepas membuka kempen tumpas 0-1 kepada Perancis.

Di sebalik prestasi terumbang-ambing itu, Kroos dilabel mampu memacu juara dunia 2014 berkenaan.

Tiada pemain yang melengkapkan lebih banyak hantaran dalam pusingan ini berbanding pemain Real Madrid (280) tersebut - 217 hantaran berlaku di kawasan lawan.

Memandangkan Jerman memiliki purata 64.7 peratus penguasaan permainan untuk di belakang Sepanyol (76.1), Henderson sekali lagi ingin mengganggu rentak Kroos dengan merampas bola dan mengatur serangan.

"Mereka adalah pasukan handalan. Mereka mempunyai pemain bertaraf dunia di setiap posisi, jadi perlawanan seperti ini akan sentiasa sukar," katanya.

"Sangat penting untuk menyimpan bola terutama ketika menentang Jerman yang merupakan pasukan hebat selain memiliki pemain teknikal yang sangat baik untuk menguasai permainan.

"Kami perlu terus bertahan dengan baik kerana mereka mempunyai tonggak seperti Kroos yang boleh menghukum anda.

"Dia pemain bertaraf dunia yang mampu menyakiti anda jika mendapat masa dan ruang, jadi kami perlu pastikan dia tidak menyimpan bola, kami perlu benar-benar mantap.

"Ketika menguasai bola, kami harus tenang dan tidak gopoh. Malah perlu juga positif terhadap permainan, membawa bola ke depan dan berusaha menciptakan sebanyak mungkin peluang kerana kami memiliki beberapa penyerang yang hebat yang mampu menghukum lawan.

"Selagi kami dapat masuk ke kawasan mereka dan tidak membiarkan mereka beraksi seperti biasa, saya rasa kami akan mengharungi malam yang benar-benar baik."