Apabila menyebut "sepakan percuma Roberto Carlos", semua pihak dengan segera terfikir Le Tournoi 1997, iaitu perlawanan persahabatan antara Brazil dan Perancis di mana ketika itu Carlos melakukan sepakan dikenali "banana kick" yang seolah-olah melawan hukum fizik.

Ia antara jaringan yang paling unik dalam sejarah bola sepak dunia apabila bola melencong ke tepi barisan benteng pemain lawan sebelum menerjah gawang gol.

Namun, laman berita Mirror.co.uk membuat ulasan, gol itu kini tidak lagi unik selepas penyerang Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri melakukan jaringan aneh, bukan sahaja lebih melencong berbanding sepakan Carlos, tetapi turut menjunam laju untuk singgah ke penjuru atas gawang.

Selain Mirror, jaringan Faiz turut menarik perhatian media dan laman sesawang popular luar negara antaranya Independent, Sydney Morning Herald, SB Nation serta 101goals yang rata-rata berpendapat jaringan itu bakal memenangi Anugerah Puskas 2016.

Faiz, bekas pemain Kelantan melakukan jaringan tersebut pada minit ke-62 ketika Pulau Pinang membelasah Pahang 4-1 dalam perlawanan kedua Liga Super 2016 yang berlangsung di Stadium Bandaraya, pada Selasa.

Faiz terlebih dahulu membuktikan perpindahannya ke Pulau Pinang berbaloi apabila turut melakukan jaringan menarik seawal minit ke-3.

Berikut adalah jaringan yang dilakukan Faiz Subri:


Kredit YouTube Bbola14