PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan meneliti prestasi pengadil yang terlibat dalam perlawanan Liga Super dan Liga Premier yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM Datuk S Sivasundaram yang baru dilantik ke jawatan itu pada Sabtu malam, berkata beliau akan meneliti isu berkenaan secepat mungkin.

Pentadbir bola sepak berpengalaman yang juga Timbalan Presiden FAM itu berkata beliau bagaimanapun perlu membentuk jawatankuasanya dahulu yang dijangka dapat dilakukan dalam tempoh beberapa hari lagi.

"Saya masih menunggu laporan perlawanan pengadil dan laporan daripada Jabatan Pengadil. Saya akan bincangkan bersama ahli-ahli jawatankuasa sebelum membuat apa-apa keputusan. Jika didapati pemain atau jurulatih yang melakukan kesalahan, mereka akan dirujuk kepada jawatankuasa yang berkenaan.

"Tindakan akan diambil menurut peraturan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)," katanya ketika ditemui Bernama di Wisma FAM di sini semalam.

Keputusan yang dibuat oleh Khailazuan Kidam dan Noor Azriel Baharudin yang masing-masing mengadili perlawanan Liga Super membabitkan Sabah FC dan Terengganu FC serta Perak FC menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Ahad, menjadi bualan peminat dan juga netizen yang tidak berpuas hati.

Sabah mengetepikan Terengganu 2-1 di Stadium Likas dengan jurulatih Nafuzi Zain menerima kad kuning selepas dilihat melepaskan kemarahannya sementara Perak pula seri 2-2 dengan juara tujuh kali JDT di Stadium Ipoh dalam perlawanan yang dicemari kekecohan sebaik wisel penamat dibunyikan.

Pada Sabtu pula, ketua jurulatih Perak II Syamsul Mohd Saad meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengadil selepas pasukannya tewas 2-3 kepada JDT II dalam saingan Liga Premier di Larkin.

Minggu lepas, FAM menggantung pengadil Mohd Fairuzi Mat Desa selama dua minggu serta merujuknya kepada Pengurus Pembangunan Pengadil dan Pengadil Profesional FAM Nagor Amin Noor Mohamed selepas didapati gagal mengesan perbuatan pemain PJ City FC Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri menjatuhkan diri dalam kotak penalti, bagi mendapatkan sepakan penalti ketika bermain menentang Melaka United pada 10 Mac.

Mohd Amirul Aizat Mohd Lodin yang mengadili perlawanan Liga Premier di antara Kelantan FC dan Perak II pada 6 Mac juga dirujuk kepada Nagor Amir kerana berada di posisi yang salah dalam kotak penalti, menyebabkan beliau ditolak oleh penyerang Kelantan FC Jack Hindle.

Sementara itu, Ahmad Khairil dan Hindle yang didapati menolak pengadil dengan kasar kerana tidak dapat membuat sepakan disebabkan pengadil menghalangnya, dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin.

-- BERNAMA