RATUSAN penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi berdepan kesulitan apabila terpaksa menunggu sehingga lima atau enam jam bagi mendapatkan bagasi, manakala sejumlah penerbangan mengalami kelewatan sejak Sabtu.
Menurut pengurusan lapangan terbang itu, gangguan bermula pada Sabtu dan berlanjutan sehingga Ahad, menyebabkan ramai penumpang serta bagasi mereka terkandas di hab penerbangan utama Thailand itu, lapor Bangkok Post.
Lapangan terbang itu memaklumkan pihaknya menerima aduan daripada penumpang Thai Airways berhubung kelewatan penerbangan berlepas serta tempoh menunggu yang lama untuk mendapatkan bagasi selepas ketibaan.
Siasatan mendapati banjir di beberapa kawasan telah menjejaskan keupayaan kakitangan pengendalian darat syarikat penerbangan itu untuk hadir bekerja, sekali gus menyebabkan kekurangan tenaga kerja bagi menguruskan operasi di lapangan terbang.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila beberapa troli pengangkutan bagasi milik Thai Airways mengalami kerosakan, sekali gus mengganggu proses pengendalian penerbangan berlepas dan pemunggahan bagasi daripada pesawat yang tiba.
Masalah itu menyebabkan beberapa penerbangan berlepas lewat daripada jadual, manakala penumpang yang tiba terpaksa menunggu lebih lama daripada biasa untuk mendapatkan bagasi masing-masing.
Malah, bagasi daripada beberapa penerbangan turut tertinggal di lapangan terbang.
Pihak lapangan terbang berkata mereka sedang bekerjasama dengan Thai Airways untuk menambah kakitangan pengendalian darat, membaiki troli yang rosak serta menyediakan peralatan gantian bagi mempercepatkan proses pengendalian dan penghantaran bagasi yang tertangguh.
Selain itu, status bagasi akan dipaparkan pada skrin maklumat lapangan terbang dan pengumuman berkala turut dibuat di kawasan tuntutan bagasi bagi membantu penumpang menjejaki bagasi mereka.
Lapangan terbang itu juga telah menempatkan semula kakitangan ke kawasan tuntutan bagasi dan perkhidmatan pelanggan bagi membantu penumpang mendapatkan maklumat serta menyelaras tindakan bersama syarikat penerbangan berhubung gangguan berkenaan.