SPORTS
Fandi Ahmad antara empat calon kemudi KL City musim depan

Syed Yazid percaya The City Boys (gambar) tidak berdepan masalah untuk memperoleh lesen kebangsaan sekali gus kekal bersaing dalam kancah Liga Super. - Foto Astro ARENA
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar, mengesahkan empat nama kini berada dalam senarai calon utama bagi mengisi jawatan selaku ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City bagi saingan musim 2025/2026.
Fandi Ahmad, Milomir Seslija, Sulaiman Hussin dan S.Balachandran merupakan empat nama yang telah disenarai pendek ketika mesyuarat khas jawatankuasa eksekutif KLFA yang bersidang pada Rabu.
Syed Yazid turut menjelaskan keputusan muktamad mengenai status ketua jurulatih skuad Warga Kota itu hanya akan diketahui pada penghujung Mei nanti.
Tanpa berselindung, dia juga memaklumkan bahawa pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad yang juga bekas pemain KL itu sebagai pilihan utama namun segala-galanya bergantung kepada masa depan Tok Gajah dalam saingan Liga Malaysia musim depan."Tiga calon itu adalah S. Balachandran, Sulaiman Hussin dan bekas pemain KL iaitu Milomir Seslija, untuk jersi akan ada gambaran baru dan logo juga berubah. Lebih ringkas dan menarik.
"Saya ada berhubung dengan Fandi Ahmad tetapi masih terikat dengan Sri Pahang, jika mereka tidak ke liga super maka nama dia kami akan ketengahkan semula," katanya.
Dalam pada itu, dia juga percaya The City Boys tidak berdepan masalah untuk memperoleh lesen kebangsaan sekali gus kekal bersaing dalam kancah Liga Super.
Pihaknya kini sedang dalam proses menyelesaikan isu tunggakan gaji bagi melengkapkan kriteria penting yang telah ditetapkan badan First Instance Body (FIB) sebelum tarikh akhir 10 Mei ini.
"Selepas pengurusan baru ambil alih setiap bulan gaji kami bayar dan tiada tunggakkan, tetapi yang sebelum ini kami perlu selesaikan.
"Dari segi pelesenan memang kami ada kriteria kewangan yang kami akan hantar dalam masa terdekat, kami akan bertanding di Liga Super." tambahnya kepada Wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami