BARISAN pemain Kuala Lumpur City FC sedia mengulangi episod duka buat Johor Darul Ta'zim FC (JDT) pada 2021 menjelang pertemuan kedua-dua pasukan itu dalam aksi final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu ini.

KL City menewaskan JDT 2-0 dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 2021.

Dua penjaring gol dalam perlawanan itu, Zhafri Yahya dan Paulo Josue, seakan-akan sudah memiliki formula terbaik bagi menglangi kejayaan berkenaan.

Zhafri berkata kepada wartawan Astro Arena, Muiz Aziz: "Secara peribadi, kami memang mahu mencipta satu lagi sejarah untuk pasukan Kuala Lumpur.

"Bagi saya, kami perlu lebih fokus dan sejarah itu mungkin boleh berulang.

"Jaringan itu memang memberikan satu semangat buat pasukan Kuala Lumpur ketika itu dan saya berharap semua pemain dapat memainkan peranan dalam membantu pasukan.

"Bagi aksi final ini, kesemua pemain sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik berbanding sebelum ini," katanya.

Paulo Josue menambah: "Sudah pasti kami boleh melakukannya. Ini adalah bola sepak. Adakalanya kami melalui isu yang sukar untuk dihadapi tetapi dalam bola sepak, kami boleh mengatasinya.

"Semua orang tahu JDT memiliki fasiliti dan pemain terbaik dengan bajet yang jauh lebih besar, jadi ia agak normal untuk melihat mereka menang kerana mereka melakukan pelaburan yang besar dalam bola sepak.

"Tetapi dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Kami pemain profesional dan perlu melakukan yang terbaik apabila diturunkan.

"Dengan usaha keras dan sedikit tuah, kami boleh menewaskan mereka dan saya berharap kami akan sekali lagi dapat meraikannya," katanya.