KUALA LUMPUR: Sejak sekian lama, perlawanan akhir Piala Malaysia yang sentiasa dinanti-nantikan telah menjadi hari keramat dan terpenting dalam senario bola sepak negara.

Dari penganjuran karnival mini hingga ke konsert, venue perlawanan akhir Piala Malaysia biasanya akan menjadi saksi kepada suatu pesta dan pertunjukan semangat kesukanan yang terhebat kepada peminat.

Namun memasuki edisi ke-100 tahunnya tahun ini, peminat mungkin perlu menerima hakikat, sambutannya kali ini mungkin kurang daripada tahun-tahun sebelumnya, kesemunya disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang masih berterusan sehingga kini.

"Saya mahu mewarnakan keseluruhan kawasan ini dengan warna merah untuk sambutan ulang tahun ke-100, namun kami terpaksa melupakan impian itu, bagi mengelakkan risiko kesihatan dan keselamatan peminat," kata Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia Stuart Ramalingam.

Beliau baru-baru ini berkata sebagai penganjur, kami perlu menghormati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam penganjuran acara sukan dan "Jika ia boleh dielakkan, mari lakukan, ini bukanlah masa untuk melonggarkan undang-undang dan menguji sistem sedia ada."

Namun demikian, Suart berkata, MFL bekerja sepenuh masa bagi memastikan perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 30 Nov di Bukit Jalil, akan menjadi suatu yang akan diingati - memastikan peminat berpuas hati dengan suasana kawasan itu.

Selain percaya kebenaran untuk 20,000 penyokong dan penonton memasuki stadium, Stuart berkata peminat kini mungkin boleh makan dan minum di tempat duduk masing-masing.

Berdasarkan kepada maklum balas daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Stuart memaklumkan, MFL akan memberikan sokongan sepenuhnya, terutamanya rayuan berkaitan kebenaran peminat untuk makan di dalam stadium.

Oleh sebab itu beliau percaya Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tentunya akan bercakap kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengenai rayuan yang dikemukakan MFL, dan berharap berita baik itu akan dapat disampaikan kepada peminat tidak lama lagi.

"Kami juga berharap untuk mempunyai tempat khusus kepada peminat untuk melihat kedua-dua piala Malaysia yang baharu dan lama untuk dipamerkan secara bersebelahan. Harapannya inilah perlawanan akhir yang dinanti-nantikan, kerana akhirnya peminat mahu menikmati perlawanan akhir itu nanti," katanya lagi.

Mengikut SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan KBS, jumlah penonton di Stadium adalah berdasarkan kepada fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri-negeri berkaitan.

Stadium Nasional Bukit Jalil yang terletak di Lembah Klang, kini berada dalam Fasa Empat, yang mana SOP membenarkan kehadiran 50 peratus daripada kapasiti atau 20,000 (yang mana lebih rendah) boleh digunakan pada hari perlawanan.

SOP yang ketat itu tidak membenarkan makan atau minum dalam stadium, yang telah menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penonton sejak kebelakangan ini.

Berkaitan rasional mengadakan perlawanan akhir pada hari Selasa (30 Nov), Stuart berkata perkara itu bukanlah suatu yang akan mereka pilih, tetapi kekal optimistik yang ia akan tetap menarik penonton ke stadium bagi menyokong pasukan mereka di final nanti.

Stuart menjelaskan MFL sedar yang mereka perlu mengubah jadual perlawanan itu, sebaik sahaja mengetahui Harimau Malaya pergi ke Jordan untuk perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1, bulan lepas, yang menyaksikan pemain kebangsaan perlu menjalani kuarantin 14 hari sebelum mereka dapat menyertai semula pasukan masing-masing untuk aksi Piala Malaysia, yang bermula 29 Okt lepas.

Disebabkan perlawanan kalah mati akan memerlukan keupayaan penuh secara fizikal dan mental semua pemain, beliau menjelaskan MFl perlu memastikan kesemua pasukan mempunyai rehat tiga hari penuh antara dua perlawanan dalam tempoh lima hari, bagi mengekalkan kualiti permainan dan terutamanya mengelakkan kecederaan.

"Kita tidak boleh adakan pada Disember, kerana kita mungkin akan ada pasukan yang tidak mempunyai pemain disebabkan isu kontrak, jadi kami perlu melaksanakannya pada bulan ini juga, dan bermakna tarikh 30 Nov merupakan tarikh yang terbaik kami ada," katanya.

-- BERNAMA