SUKAN
Gareth Bale komited mahu ambil alih Cardiff City

Bale dan pasukannya sedang menunggu jawapan daripada pemilik Cardiff, Vincent Tan, tetapi percaya tawaran mereka adalah serius dan adil. - Gambar Facebook Gareth Bale
Bekas bintang Real Madrid dan Wales, Gareth Bale mengesahkan bahawa beliau dan konsortiumnya telah mengemukakan satu tawaran baharu untuk mengambil alih kelab bola sepak Cardiff City, yang disifatkannya sebagai 'lebih daripada adil'.
Menurut media antarabangsa, beliau yakin tawaran itu akan diterima oleh pemilik semasa, Tan Sri Vincent Tan.
"Ini berita yang menggembirakan, kami ada satu tawaran baharu di atas meja, baru sahaja dihantar.
"Kami rasa ia satu tawaran yang hebat dan kami sangat berpuas hati dengannya. Kami percaya ia sangat adil, malah lebih daripada adil dan kami berharap pemilik semasa akan mempertimbangkannya secara serius. "Kami amat berharap mereka akan menerimanya supaya kami boleh mengambil alih sepenuhnya dan melaksanakan rancangan kami untuk menjadikan Cardiff sebuah kelab yang kami tahu mampu mencapai potensi sebenar," kata Bale dalam rancangan Front Office Sports Today.
Bale menyasarkan untuk mengembalikan Cardiff ke Liga Perdana Inggeris, di mana kelab itu pernah beraksi pada musim 2013-14 dan 2018-19.
Namun, tawaran beliau perlu meyakinkan jutawan Malaysia itu yang turut menerima minat daripada konsortium lain yang melihat potensi besar dalam kelab Wales itu.
Tawaran awal sebanyak £40 juta dilaporkan telah ditolak, tetapi Bale kini telah mengemukakan tawaran baharu yang lebih baik.
Beliau menyatakan hasrat untuk memimpin kelab yang disokongnya sejak kecil, walaupun tidak pernah bermain untuk Cardiff secara profesional.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami