GARETH Bale mengesahkan pemergiannya daripada Real Madrid menerusi satu surat buat rakan sepasukan, staf dan penyokong di Santiago Bernabeu.

Kontrak Bale, yang merupakan pemain termahal dunia sewaktu menyertai Madrid daripada Tottenham pada 2013, akan tamat pada penghujung bulan ini.

Penyerang Wales itu telah memainkan peranan penting sewaktu memenangi 16 gelaran utama sepanjang di Sepanyol, termasuk lima kejuaraan Liga Juara- Juara Eropah (UCL).

Bale juga menjaringkan gol dalam tiga final UCL, termasuk jaringan akrobatik gemilangnya sewaktu menewaskan Liverpool pada 2018 -- hanya Christiano Ronaldo (empat) mempunyai rekod lebih baik.

Bagaimanapun, pemain berusia 32 tahun itu tidak diturunkan ketika Madrid menjulang trofi UCL terbaru mereka hujung minggu lalu -- sekali lagi dengan menewaskan Liverpool -- dan hanya dapat beraksi tujuh minit sepanjang kempen epik peringkat Eropah berkenaan.

Hanya sebatas tujuh penampilan dalam kesemua kejohanan musim ini selepas semusim dipinjamkan kepada Spurs, pemergian Bale sudah lama dijangkakan.

Dalam satu ciapan Twitter semalam, dia menulis: "Saya menulis mesej ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua rakan sepasukan saya, yang sebelum ini dan ketika ini, pengurus-pengurus saya, staf belakang tabir dan semua peeminat yang menyokong saya.


"Saya tiba di sini sembilan tahun lalu sebagai seorang pemuda yang mahu merealisasikan impian saya untuk bermain buat Real Madrid.

"Untuk menyarung jersi putih keramat, untuk memakai lambang di dada saya, untuk bermain di Santiago Bernabeu, untuk memenangi gelaran dan menjadi sebahagian daripada apa yang terkenal di kelab ini, untuk memenangi UCL.

"Saya kini boleh mengimbas kembali, mengenang dan berkata dengan sejujurnya bahawa impian ini telah menjadi realiti dan lebih daripada itu.

"Untuk menjadi sebahagian daripada sejarah kelab ini dan mencapai apa yang telah saya capai sebagai pemain Real Madrid merupakan satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan.

"Saya juga mahu berterima kasih kepada presiden, Florentino Perez, Jose Angel Sanchez dan lembaga pengarah yang memberikan saya peluang untuk bermain buat kelab ini.

"Secara bersama, kita dapat mencipta beberapa momen yang akan terpahat selamanya dalam sejarah bola sepak dan kelab ini. Ia merupakan satu penghormatan," katanya.