Pemain muda, Gavin Kyle Green mencipta sejarah apabila muncul pemain golf Malaysia pertama merangkul gelaran Order of Merit Jelajah Asia 2017, selepas mengharungi saingan sengit berdepan jaguh-jaguh golf terkemuka di rantau ini, sepanjang tahun ini

Pemain golf berusia 23 tahun itu menjadi pemain kedua termuda memenangi gelaran tersebut sejak Jelajah Asia diperkenalkan pada 2004.

Untuk rekod, pemain termuda merangkul gelaran tersebut adalah Noh Seung-yul dari Korea Selatan yang berusia 19 tahun pada 2010.

Gavin mengesahkan gelaran Order of Merit Jelajah Asia itu selepas menamatkan saingan dengan berkongsi di tempat ke-19 pada Terbuka Joburg, menyaksikan beliau meraih AS$13,277.40 (RM54,056) untuk mengumpulkan wang kemenangan keseluruhan berjumlah AS$585,813 (RM2.384 juta), musim ini.

"Selepas 12 bulan, berada di kedudukan teratas! Perasaan yang luar biasa. Terdapat ramai pemain yang berpeluang memenanginya," kata Gavin seperti dipetik dalam laman web Jelajah Asia, www.asiantour.com.

"Bersyukur, segalanya berjalan dengan baik minggu ini. Saya akan meraikannya," kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.

Kejayaan membanggakan itu menyaksikan Gavin mendapat pengecualian lima tahun pada Jelajah Asia, dan beraksi di saingan berprestij '2018 The Open Tournament' dan juga Kejohanan WGC-Mexico.

Prestasi cemerlang Gavin itu bermula semasa Terbuka India pada Mac apabila menamatkan cabaran di tempat kedua, sebelum berkongsi di tempat ketiga pada kejohanan Yeangder Heritage di Taiwan, pada April.

Gavin terus beraksi cemerlang apabila sekali lagi meraih tempat kedua pada Terbuka Shinhan Donghae di Korea Selatan (September), dan seterusnya mencerahkan peluangnya meraih gelaran Order of Merit Jelajah Asia itu, dengan memenangi gelaran Jelajah Asia pertamanya di Taiwan Masters, dua minggu kemudian.

Beliau berpeluang menamatkan musim ini dengan pencapaian lebih cemerlang kerana bakal beraksi pada kejohanan terakhir Jelajah Asia 2017, iaitu Masters Indonesia yang menawarkan hadiah wang tunai AS$750,000 (RM3.055 juta), minggu ini.

Juara kejohanan berkenaan akan menerima hadiah wang tunai AS$135,000 (RM549,880) dan juga minimum 20 mata Ranking Rasmi Golf Dunia, selain berpeluang beraksi pada kejohanan WGC - Bridgestone Invitational 2018.



Kedudukan 10 Teratas Order of Merit Jelajah Asia 2017:

--------------------------------------------------------------------------

1.GAVIN KYLE GREEN (MAS) US$585,813 (RM2.384 juta)

2. David Lipsky (USA) US$461,179 (RM1.878 juta)

3. S.S.P. Chawrasia (IND) US$440,747 (RM1.794 juta)

4. Scott Hend (AUS) US$439,229 (RM1.788 juta)

5. Wade Ormsby (AUS) US$423,896 (RM1.727 juta)

6. Shubhankar Sharma (IND) US$379,535 (RM1.545 juta)

7. Phachara Khongwatmai (THA) US$364,799 (RM1.485 juta)

8. Poom Saksansin (THA) US$326,678 (RM1.330 juta)

9. Jazz Janewattananond (THA) US$305,925 (RM1.246 juta)

10. Daisuke Kataoka (JPN) US$284,489 (RM1.158 juta)



-- BERNAMA