Juara dunia acara terjun platform 10 meter, Cheong Jun Hoong tiba di tanah air dengan diberi sambutan wira selepas mengharumkan nama negara pada Kejohanan Akuatik Dunia yang berlangsung di Budapes, Hungary.

Turut hadir menyambut kehadiran beliau ialah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail selain peminat sukan terjun negara.

Jun Hoong tiba bersama jurulatih serta kesemua pasukan terjun yang telah mengambil bahagian pada kejohanan tersebut yang berlangsung pada 14-30 Julai.

Kemenangan itu melakar sejarah buat negara kerana pertama kalinya atlet terjun negara merangkul gelaran juara pada kejohanan dunia.

"Terima kasih semua yang hadir untuk sambut saya hari ini. Saya rasa bersyukur atas kemenangan ini walaupun masih bergelut dengan masalah kecederaan.

"Kemenangan ini tidak memberi tekanan kepada saya, sebaliknya saya akan cuba lakukan yang terbaik pada kejohanan-kejohanan akan datang," katanya.

Dalam pada itu Khairy ketika ditemui berkata, pusat akuatik yang sedia ada akan cuba dinaik taraf selain akan membina satu kolam latihan akan dibina di Bukit Jalil sejurus selepas berakhirnya Sukan SEA nanti.

Beliau juga berharap Majlis Sukan Negeri di seluruh negara juga akan memastikan tumpuan diberikan kepada pusat-pusat akuatik di setiap negeri berada dalam keadaan baik dan dinaik taraf jika perlu untuk memastikan mereka mampu melahirkan atlet-atlet akuatik yang berpotensi.

"Sebenarnya mereka ini sudah mempunyai pusat akuatik di negeri masing-masing. Cuma ada yang perlu dinaik taraf jika ada kekurangan.

"Insya-Allah kita akan adakan perbincangan dengan mereka dan bekerjasama dengan mereka nanti," ujar Khairy.