GP Malaysia: Sasaran ditetapkan selepas latihan bebas pertama - Hakim Danish

Hannah Yeoh (tiga, kiri) bersama jentera baharu yang akan digunakan oleh Hakim Danish (tiga, kanan) pada Majlis Pengumuman Pasukan Moto3 Wildcard di SIC hari ini. - Bernama
SEPANG: Pelumba muda berbakat negara Muhammad Hakim Danish Ramli mahu melengkapkan sesi latihan bebas pertama sebelum menetapkan sasaran pada penampilan sulung dalam saingan Moto3 Grand Prix Motosikal Malaysia (GP Malaysia) 2025 yang dijadual dari 24 hingga 26 Okt di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini.
Hakim Danish yang bakal beraksi menerusi tiket wildcard untuk pasukan AEON Credit SIC Racing MSI berkata masih terdapat ruang untuk diperbaiki selepas menguji jentera yang bakal digunakannya baru-baru ini.
"Saya tidak meletakkan sebarang sasaran lagi kerana masih baharu untuk kategori ini. Saya akan menilai (prestasi) semasa setelah melengkapkan sesi latihan bebas 1 (FP1) pada 24 Okt.
"Jadi dari situ saya dapat lihat tahap kedudukan saya," katanya pada majlis pelancaran pasukan dan jentera AEON Credit SIC Racing MSI di sini hari ini.Baru-baru ini, Hakim Danish muncul sebagai pelumba Malaysia pertama menamatkan musim dalam kelompok tiga terbaik Red Bull Rookies Cup (RBRC) 2025 dengan menduduki tempat ketiga.
Pelumba berusia 18 tahun itu juga sedang menghuni tangga kesembilan pada saingan Kejuaraan Dunia GP Remaja (JrGP) 2025.
Sementara itu, pelumba dari Terengganu itu mengakui dapat merasai perbezaan ketara jentera Moto3 yang lebih laju berbanding jentera digunakan pada saingan JrGP musim ini.
Hakim Danish pada masa sama sedia menyahut cabaran dilontarkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada sidang media majlis sama yang mahu beliau menggegarkan GP Malaysia 2025 dengan muncul juara di SIC.
"Tak mustahil (menang GP Malaysia), saya yakin dengan pasukan saya dan juga dengan motosikal ditunggang pada GP Malaysia yang memang kompetitif, saya hanya perlu bersiap sedia," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami