PENYERANG Atletico Madrid, Antoine Griezmann meledak gol ke-100 LaLiga ketika membantu pasukannya meraih kemenangan 1-0 ke atas Espanyol di Stadium RCDE.

Griezmann merupakan pemain kedua kelahiran Perancis untuk melakar 100 gol di dalam liga Sepanyol itu selepas penyerang Real Madrid, Karim Benzema.

Benzema merakamkan jaringan tiga angka tersebut dalam 202 penampilan berbanding Griezmann dalam 247 penampilan.

Pencapaian Griezmann agak perlahan dapat dijelaskan kerana bersama Real Sociedad, dia telah menjaringkan 40 gol selepas 141 perlawanan. Penyerang itu telah meningkatkan tempo permainan apabila menghasilkan 60 gol dalam 106 perlawanan di bawah kendalian Diego Simeone di Atletico.

Pemain berusia 26 tahun itu telah meledak 69 gol menerusi kaki kirinya, 20 tandukkan manakala 11 gol daripada kaki kanan.