ANTOINE GRIEZMANN mendakwa dirinya sebaris dengan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo ketika dia menyasarkan untuk memenangi Ballon d'Or sementara mengakui dia boleh meningkatkan lagi mutu permainannya.

Penyerang Perancis itu terlepas senarai tiga pemain untuk Anugerah Pemain Terbaik FIFA, yang pemenangnya akan diumumkan pada 24 September ini, tetapi dia yakin dengan peluangnya untuk tercalon pada tahun depan.

Berbeza dengan anugerah FIFA, pemenang Ballon d'Or ditentukan oleh undian wartawan dan Griezmann menganggap anugerah itu lebih berprestij.

"Saya berasakan Ballon d'Or memiliki prestij dan sejarah," katanya. "Terdapat tiga bulan lagi untuk berusaha.

"Saya adalah pemain yang berbeza jika dibandingkan dengan Cristiano Ronaldo, Messi, Neymar atau Kylian Mbappe. Saya berada di puncak tetapi masih mampu meningkatkan lagi mutu permainan.

"Saya tidak akan mengejar 50 gol tetapi mampu membantu pasukan ketika menyerang.

"Saya berasakan prestasi saya sebaris dengan Messi dan Ronaldo," ujarnya.

Griezmann telah dikaitkan dengan perpindahan menyertai Barcelona tetapi menerangkan keputusannya untuk menolak tawaran ke Nou Camp kerana mahu terus menjadi sebahagian daripada skuad bimbingan Diego Simeone.

"Berkata tidak kepada Barcelona melonjakkan Atletico, Simeone dan rakan sepasukan.

"Saya meletakkan kepercayaan kepada mereka dan saya mahu kekal bersama pasukan. Jika saya mengejar wang, saya akan berpindah ke China.

"Ia adalah keputusan yang tepat bagi masa depan saya," katanya.