DI SEBALIK spekulasi keretakan hubungan pengendali Manchester City dengan Sergio Aguero, Pep Guardiola menghamburkan pujian selayaknya buat penyerang berusia 29 tahun itu.

Bagi Guardiola, Aguero seorang legenda dan berhak memilih masa depan dan laluannya sendiri.

Aguero dikhabarkan berhasrat meninggalkan skuad The Citizens selepas merasakan dirinya disisihkan Guardiola.

Perselisihan dua figura ini mula dikesan ketika aksi Derby Manchester awal bulan ini yang menyaksikan Aguero hanya sekadar memanaskan bangku simpanan.

Kemuncaknya pada minggu lalu apabila Aguero bertindak melemparkan sarung tangannya ke lantai selepas tidak puas hati dikeluarkan.

Namun bagi Guardiola dia kena berlaku adil kepada pemain lain.

“Kadang-kala saya Gabriel Jesus berhak untuk turut bermain, begitu juga Bernardo Silva atau Eliaquim Mangala. Jika mereka tidak gembira dengan saya, itu bukan masalah kerana yang penting mereka menghormati satu sama lain,” ujar Guardiola.

Kemampuan Aguero selaku senjata pemusnah City tidak dapat disangkal. Sejak menyertai kelab itu pada 2011 sudah 183 jaringan diledaknya dengan 101 daripadanya di Stadium Etihad.

Nilai semasa Aguero sekiranya memilih untuk berhijrah adalah sekitar 70 juta pound dan antara yang dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya adalah gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid.