LATIHAN hanya beberapa jam dalam bulan Ramadan bukan penghalang buat Emman Azman merekodkan kemenangan bergaya dalam kejohanan gusti New Japan Pro Wrestling (NJPW) Tamashii.

Ahli gusti yang terkenal dengan jolokan ‘Golden Boy’ itu menumpaskan ahli gusti dari Australia, Jarvis dalam perlawanan tersebut, menyaksikan kemenangan kedua berturut-turut Emman terhadap ahli gusti itu.

Beliau menewaskan Jarvis dengan gerakan istimewanya, KL Gold Running Elbow dalam perlawanan yang mengambil masa hanya 11 minit.

“Saya berharap akan terus bersinar di Jepun dan mahu satu dunia tahu saya satu-satunya rakyat Malaysia yang menyertai kejohanan di syarikat gusti Jepun.

"Saya hadiahkan kemenangan ini kepada peminat-peminat saya di Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Saya berusaha keras untuk menempa kejayaan ini. Sudah tentu sokongan dan doa daripada ibu dan keluarga sentiasa menyemarakkan lagi semangat untuk mengharumkan nama negara," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Selepas kejohanan tersebut, Emman dijadual menyertai kejohanan gusti Smashing Pumpkins Tour yang dikelolakan syarikat gusti Amerika Syarikat iaitu National Wrestling Alliance(NWA) pada 23 April dan 27 April depan.

Pada kejohanan itu, Emman akan mewakili pasukan Australia dan akan menentang pasukan Amerika Syarikat.

“Memang impian saya mahu jadi ahli gusti profesional, kalau tidak WWE (World Wrestling Entertainment) atau AEW (All Elite Wrestling) pun boleh juga.

“Apa pun, sukar untuk percaya yang saya akhirnya berjaya menjejakkan kaki bertanding di kejohanan syarikat gusti kedua terbesar dunia, dan menjadi rakyat Malaysia pertama masuk ke NJPW," katanya.

Kejohanan gusti New Japan Tamashii yang bakal berlangsung di Melbourne, Australia pada Ahad lalu mendapat perhatian dunia memandangkan NJPW merupakan entiti sukan gusti yang terbesar dan popular di Jepun, selepas WWE.

Pada 8 April lalu, Emman muncul menang menentang Jarvis dalam perlawanan MCWBlood InTheWater yang berlangsung di Melbourne.