Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang bakal mengambil alih pengurusan Liga Malaysia (Liga M) tahun depan, tidak seharusnya menumpukan perhatian semata-mata kepada membasmi rasuah da keganasan bola sepak.

Sebaliknya, badan itu perlu memikirkan cara bagaimana menyalurkan dana daripada hak penyiaran perlawanan kepada pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga M, kata Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Banyak pasukan belum bersedia. Tanggungjawab persatuan induk bola sepak tanah air dan penaja, yang menaja liga perlu membantu pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia, bukan nak kurangkan rasuah dan keganasan, itu bukan tugas mereka.

"Itu tugas pihak berkuasa," titah Tunku Mahkota Johor itu pada sidang media di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini hari ini.

Baginda mengulas laporan berita berhubung hasrat Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam yang mahu melancarkan kempen membasmi kes mengatur perlawanan dan budaya samseng bola sepak apabila mengambil alih pengurusan Liga M tahun depan.

Tunku Ismail bertitah walaupun persatuan bola sepak mempunyai tanggungjawab mencari peruntukan sendiri, dengan adanya wang daripada hak penyiaran, mereka dapat menggunakan dana itu untuk menambah baik kemudahan dan program pembangunan bola sepak belia.

"Memang tanggungjawab kita mencari duit dan penaja-penaja kita sendiri, tetapi itu sepatutnya menjadi bonus untuk kurangkan beban. Terutama apabila ada kes, penaja menarik tajaan menyebabkan ada pasukan terpaksa menanggung beban akibat daripada itu," titah baginda.

Tunku Ismail turut berharap agar FMLLP dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memberi penerangan jelas, bukan sahaja kepada PBNJ tetapi pasukan lain yang bertanding dalam Liga M musim depan.