KUALA LUMPUR: Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Vietnam 2021 Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini mengadakan pertemuan dengan presiden dan setiausaha kehormat empat persatuan sukan kebangsaan menjelang temasya dwitahunan itu yang akan berlangsung dari 21 Nov hingga 2 Dis ini.

Mereka adalah Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dan Setiausaha Kehormat MGA Datuk Zulkifli Ismail serta Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat dan Setiausaha Kehormatnya Wan Muhammad Hafiz Wan Izanatar.

Setiausaha Agung Persatuan Mendayung Malaysia (Perdama) Muhamad Hasnul Aizam Bakin dan Setiausaha Agung Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) Maradona Chok turut menghadiri pertemuan itu.

"Saya mengambil maklum cabaran dan kesulitan yang dihadapi persatuan-persatuan ini dan berjaya menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi mereka menerusi pasukan sekretariat saya.

"Saya juga telah mencatat semua prospek pingat setiap sukan dan akan bekerjasama dengan semua persatuan untuk mencapai sasaran kita pada Sukan SEA nanti," kata Hamidin dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam.

Sementara itu, Hamidin mengingatkan semua persatuan sukan kebangsaan untuk melakukan proses pemilihan yang teratur menjelang Julai dan bekerjasama dengan MOM dan Kementerian Belia dan Sukan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk kontinjen Malaysia.

Beliau juga merancang ingin bekerjasama dengan MOM dan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) bagi program kesedaran antidoping untuk semua ahli kontinjen Malaysia.

Sebelum ini, banyak perbincangan khas diadakan oleh Hamidin dengan pegawai utama daripada 29 persatuan sukan kebangsaan yang berkaitan dengan MOM dan sukan yang akan menyertai Sukan SEA ke-31 itu.

Bagaimanapun, Hamidin tidak mengadakan perbincangan dengan dua persatuan sukan kebangsaan iaitu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dipengerusikannya.

-- BERNAMA