KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh akan mengadakan pertemuan dengan Shereen Samson Vallabouy pada Selasa ini bagi membincangkan keperluan dan kebajikan atlet olahraga negara itu.

Hannah berkata Shereen, 25, yang merupakan anak kelahiran Ipoh, Perak dan kini pelajar atlet di Universiti Winona State di Minnesota, Amerika Syarikat, telah menunjukkan prestasi yang cemerlang.

Sehubungan itu, beliau berkata pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu memberikan sokongan kepada atlet seperti Shereen.

"Namun, bentuk bantuan yang akan diberikan itu masih dalam perbincangan peringkat KBS. Lagipun, perjumpaan minggu hadapan (Selasa) akan diadakan secara tertutup (di KBS) dan selepas itu baru kita akan maklumkan kepada media," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2023 di sini hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan ibu kepada pelari 400 meter (m) negara itu, Josephine Mary memberitahu bahawa Shereen berdepan masalah untuk membiayai latihan dan tinggal di Florida selepas tajaan daripada Better Malaysia Foundation (BMF) dijangka hanya cukup hingga Disember ini, dalam usaha merebut slot ke Sukan Olimpik 2024.

Shereen akan berpindah ke Florida Jun ini selepas semester terakhirnya di Universiti Winona State bagi menjalani latihan amali dan seterusnya berlatih di bawah kendalian jurulatih Derrick White.

Pada 16 April, Shereen meleburkan rekod 400m kebangsaan milik Allahyarham Rabia Abdul Salam dengan mencatatkan 51.80 saat (s) di Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63, California, Amerika Syarikat.

Beliau sebelum itu pernah meleburkan rekod kebangsaan 400m dalam dewan sebanyak empat kali, dengan yang terakhir ketika memenangi pingat emas di Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan Divisyen II Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Virginia Beach, Virginia pada Mei lepas.

Pelari itu juga merupakan antara wakil negara yang akan menggalas cabaran dalam temasya Sukan SEA Kemboja pada Mei ini bagi acara 400m dan 4x400m.

Mengenai penganjuran KLSCM edisi ke-15 yang dijadual berlangsung di sekitar Dataran Merdeka pada 30 Sept dan 1 Okt ini, Hannah berkata ia merupakan usaha yang baik dalam menarik rakyat Malaysia menyertai aktiviti sihat terutamanya apabila pelbagai kategori dipertandingkan.

Sementara itu, Pengarah Projek KLSCM Rainer Biemans berkata sejumlah 40,000 peserta dijangka menyertai larian tersebut musim ini.

"Kami berbesar hati menerima label Road Race daripada World Athletics, merupakan cap kelulusan yang akan memberi keyakinan tambahan kepada pelari bahawa mereka mendaftar untuk acara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," kata Rainer.

-- BERNAMA