KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu menggunakan peruntukan RM5 juta seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini demi pembangunan skuad bola sepak negara.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata dana disalurkan kepada FAM itu tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya termasuk menanggung kos operasi badan induk bola sepak negara tersebut seperti pembayaran gaji kepada petugas dan penyelesaian bil utiliti mereka.

"Seperti semua sedia maklum Harimau Malaya dan pasukan lain di bawah FAM memerlukan dana latihan berkala, jika nak (mencapai) standard lawan dengan pasukan kuat, mereka perlukan pendedahan sparing tapi semua itu akan ambil dana.

"FAM memang perlukan dana kerajaan, kalau kita lihat dalam dua tahun ini memang nampak hasil latihan Kim Pan Gon (ketua jurulatih) dan Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM) sentiasa berusaha cari dana jadi sebagai tanda sokongan Kerajaan Persekutuan kepada usaha dilakukan, kerajaan beri RM5 juta peruntukan secara one-off," katanya kepada pemberita selepas sesi makan tengah hari bersama Anwar di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Hannah berkata Kementerian Kewangan dan Jabatan Audit Negara akan melakukan pemantauan perbelanjaan digunakan menerusi peruntukan diberikan kepada FAM bagi memastikan ia terpakai untuk kegunaan skuad bola sepak negara sahaja.

Dalam pada itu, Hannah berkata peruntukan tersebut juga disalurkan dengan mengambil kira bola sepak merupakan sukan nombor satu negara sehingga menyaksikan lebih 60,000 peminat hadir menyaksikan tayangan skrin gergasi tiga aksi Harimau Malaya pada Piala Asia 2023 di 16 lokasi seluruh negara, baru-baru ini.

Hannah juga menyedari hakikat bahawa perbelanjaan skuad kebangsaan untuk bersaing di Piala Asia 2023 juga rendah berbanding tiga lagi pasukan lain dalam Kumpulan E iaitu Bahrain, Korea Selatan dan Jordan.

"Oleh sebab itu, saya rasa jika tidak diberikan sokongan dan biarkan mereka cari dana sendiri memang susah untuk mereka (FAM) jadi kita kena bantu sedikit," katanya.

Harimau Malaya menamatkan kempen dengan mencipta sensasi mengikat gergasi bola sepak Asia, Korea Selatan, 3-3, pada perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Doha, semalam.

Walaupun seri dengan Korea Selatan, hasrat Malaysia untuk mencipta sejarah layak ke pusingan 16 terbaik pada Piala Asia 2023 tidak kesampaian selepas tewas dalam dua aksi pertama Kumpulan E, masing-masing tumpas 0-4 di tangan Jordan dan 0-1 kepada Bahrain, sekali gus menduduki tempat terakhir dengan mengumpul satu mata.

Dalam pada itu, Hannah meminta media serta peminat sukan agar tidak membuat tuntutan menukar pengurusan pasukan mahupun persatuan sukan setiap kali keputusan kurang baik dilakar Malaysia pada mana-mana kejohanan disertai.

"Penambahbaikan perlukan masa seperti Kim Pan Gon (ketua jurulatih) ambil masa dua tahun bentuk skuad Harimau Malaya, begitu juga hoki kita tunggu langkah diambil Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) selepas ini. Saya sentiasa berhubung dengan presiden (KHM Datuk Seri Subahan Kamal) dan pihak jurulatih untuk mendengar dan faham cabaran dihadapi.

"Sebab itu kita perlukan masa dan kesabaran tetapi saya yakin jika kita betulkan sistem sokongan diberikan, sukan kita akan terus maju," katanya ketika diminta mengulas mengenai kegagalan skuad hoki lelaki kebangsaan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Speedy Tigers gagal layak ke Sukan Olimpik 2024, yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini, selepas terlepas peluang menempatkan diri sebagai tiga pasukan terbaik ke Paris, pada kempen kelayakan di Muscat, Oman, pada 15-21 Jan lepas.

Mereka menamatkan saingan sebagai pasukan kelima terbaik selepas mengatasi Kanada 3-1 menerusi penentuan penalti selepas terikat tanpa jaringan pada perlawanan klasifikasi tempat kelima-keenam.

Terdahulu, anak buah A. Arul Selvaraj menamatkan saingan peringkat Kumpulan A di kedudukan tercorot dengan satu mata, di belakang Great Britain yang muncul juara kumpulan (sembilan mata), Pakistan (4) dan China (3).

Kali terakhir Malaysia layak ke Olimpik adalah pada edisi 2000 di Sydney, Australia.

-- BERNAMA