Hannah sahkan Kim Swee disaran FAM dilantik Pengarah Teknikal AMD

Menurut Hannah, rancangan melantik Kim Swee (gambar) merupakan perkembangan positif sekali gus memberi peluang buat anak tempatan terlibat dalam program pembangunan bola sepak negara di peringkat akar umbi. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan bekas pengendali Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee telah disarankan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk dilantik sebagai Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
Ringkasan AI
- Datuk Ong Kim Swee disarankan oleh FAM untuk dilantik sebagai Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD), memberi peluang kepada anak tempatan terlibat dalam program pembangunan bola sepak negara.
- Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) terpaksa ditangguhkan sementara oleh MSN dan diserahkan kepada FAM susulan krisis berkaitan isu dokumentasi tujuh pemain warisan yang menimpa badan induk bola sepak negara.
- FIFA menolak rayuan FAM dan tujuh pemain warisan, serta mengekalkan hukuman atas kesalahan pemalsuan dokumen di bawah Kod Tatatertib FIFA, dengan denda keseluruhan CHF350,000 dan pemain digantung selama 12 bulan dari aktiviti bola sepak.
Semalam, media melaporkan Kim Swee bakal memulakan tugas berkenaan seawal 1 Jan depan dan dianggap calon tepat memegang jawatan tersebut susulan reputasinya membimbing Harimau Muda merangkul emas bola sepak lelaki Sukan SEA 2011 di Indonesia.
Kim Swee ketika ini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas meninggalkan kelab Indonesia, Persik Kediri sebelum ini.
Mengenai hala tuju Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Hannah berkata MSN terpaksa menangguhkan sementara untuk menyerahkan program berkenaan kepada FAM susulan krisis melanda badan induk bola sepak negara itu berhubung isu dokumentasi tujuh pemain warisan negara baru-baru ini.
NFDP yang dilancarkan pada 2014 merupakan program untuk meningkatkan kualiti bola sepak negara dengan melatih pemain di peringkat akar umbi, sekali gus mampu melahirkan pemain bertaraf dunia untuk beraksi di pentas antarabangsa.
Pada 3 Nov lepas, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan oleh FAM dan tujuh pemain warisan, iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk bola sepak dunia itu terhadap FAM dan tujuh pemain naturalisasi berkenaan atas kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
Sehubungan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (kira-kira RM11,000).
Ketujuh-tujuh pemain itu juga digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


