Hanya sembilan individu dibenar lawat Schumacher

Corinna berusaha menjaga maruah dan kehormatan suaminya selepas kemalangan ski yang mengubah hidup juara dunia tujuh kali itu. - Foto Agensi
SELEPAS lebih sedekad kemalangan ski yang mengubah hidupnya pada 2013, keadaan Michael Schumacher kekal menjadi misteri bagi peminat di seluruh dunia.
Kini, hanya sembilan individu terpilih dibenarkan menziarahi legenda Formula Satu (F1) itu.
Langkah tersebut diambil oleh isterinya, Corinna bagi memastikan keselamatan dan privasi juara dunia tujuh kali itu terjamin.
Schumacher mengalami kecederaan otak serius akibat kemalangan itu, sekali gus memerlukan penjagaan perubatan rapi 24 jam sehari oleh pasukan pakar.
Sepanjang lebih 10 tahun, Corinna telah berusaha menjaga maruah dan kehormatan suaminya, termasuk memindahkan beliau dari hospital ke rumah keluarga berhampiran Tasik Geneva, Switzerland.
Namun, cubaan pemerasan baru-baru ini memaksa beliau mengetatkan lagi peraturan lawatan.
Menurut laporan media Jerman, BILD, senarai individu yang dibenarkan menziarahi Schumacher kini hanya tinggal sembilan orang.
Lingkaran eksklusif ini terdiri daripada ahli keluarga terdekat iaitu Corinna sendiri, serta anak-anak mereka, Mick dan Gina-Maria selain Sabine Kehm, bekas pengurus yang dipercayai keluarga dan sering bertindak sebagai jurucakap mereka.
Selain ahli keluarga, mereka yang kekal dalam ‘lingkaran dalam’ ini adalah rakan-rakan terdekat Schumacher sepanjang kariernya, termasuk bekas ketua F1, Jean Todt dan Ross Brawn, bekas pengarah teknikal Benetton dan Ferrari.
Bekas pemandu F1 Gerhard Berger, Luca Badoer dan Felipe Massa juga termasuk dalam senarai eksklusif ini.
Pengurangan drastik ini menunjukkan tahap kepercayaan dan keselamatan kini menjadi keutamaan keluarga.
Corinna yang sekian lama menjaga kesihatan dan privasi suaminya, berkata, tindakan ini perlu selepas cubaan pemerasan yang melibatkan tiga individu termasuk bekas pengawal peribadi Schumacher, Markus Fritsche.
Keluarga itu diancam dengan pendedahan maklumat perubatan Michael, yang digelar Corinna sebagai “pengkhianatan tertinggi.”
Sabine Kehm menjelaskan kesan emosional tindakan itu terhadap keluarga, berkata: "Pelbagai pihak yang rapat dengan keluarga pun tidak boleh dipercayai untuk mengekalkan rahsia. Kejadian ini menyebabkan mereka lebih berhati-hati terhadap sesiapa sahaja di sekeliling mereka."
Beliau menambah bahawa langkah Corinna adalah respons wajar untuk melindungi kesejahteraan dan privasi suaminya.
"Corinna menatap situasi ini dengan rasa pahit dan langkah ini diambil bagi memastikan tiada siapa dapat mengeksploitasi kesengsaraan Michael.
"Keluarga ingin mengekalkan kawasan selamat yang telah mereka bina sepanjang lebih sedekad ini," ujarnya.
Bagi dunia F1 dan peminat, legenda Schumacher tetap dirindui.
Namun bagi keluarga, kesejahteraan dan privasi juara itu tetap menjadi keutamaan mutlak. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami



