SPORTS
Haqimi beri bayangan tinggalkan KL City

Haqimi memuat naik catatan menyentuh hati peminat melalui Insta Story beliau semalam. - Foto IG Haqimi Azim/Sinar Harian
PENYERANG muda Kuala Lumpur (KL) City FC, Haqimi Azim memberi bayangan untuk meninggalkan skuad warga kota pada musim depan.
Pemain berusia 22 tahun itu membuat pesanan yang menyentuh hati buat para peminat dan rakan sepasukan.
"Mungkin ini kali terakhir kita berdiri bersama sebagai satu pasukan. Terima kasih atas semua kenangan, gelak tawa dan cabaran yang kita harungi bersama," catat beliau menerusi Insta Story.
KL City menutup musim Liga Malaysia 2024-2025 dengan penuh bergaya apabila mengutip tiga mata di hadapan penyokong sendiri setelah menumpaskan Kelantan Darul Naim 5-2.Sejurus berakhir kempen musim ini topik mengenai perpindahan menjadi bualan hangat peminat ketika beberapa pemain dikatakan akan membawa haluan baharu selepas ini.
Nama Haqimi turut tak terkecuali apabila dikaitkan bakal berkelana ke selatan tanah air selepas bersama KL City sejak tahun 2022.
Malah Haqimi turut memuat naik momen indah bersama skuad Warga Kota sejak tiga tahun lalu.
Katanya, setiap memori yang dicipta bersama keluarga KL City akan sentiasa tersemat di hati walaupun mungkin tak lagi bersama selepas ini dan harap bakal bertemu lagi di lain waktu.
“Walaupun selepas ini kita mungkin membawa haluan masing-masing, setiap detik yang kita kongsi akan sentiasa dekat di hati. Jaga diri, semoga kita bertemu lagi,” catat Haqimi. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami