KUALA LUMPUR: Malaysia melaungkan amaran dalam perjuangan mencipta sejarah selepas bangkit merakam kemenangan dramatik 4-3 ke atas Kyrgyzstan pada perlawanan sulung Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di sini, malam ini.

Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Malaysia yang menyasarkan untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan buat julung kali terlebih dahulu di depan sebelum ketinggalan 1-3, namun berjaya bangkit meledak tiga gol penting di babak kedua untuk mengutip tiga mata berharga.

Skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan Kim Pan Gon bermula garang apabila mendahului seawal minit ketujuh menerusi pemain pertahanan Dion Cools yang melompat tinggi untuk menanduk masuk bola sepakan penjuru Arif Aiman Mohd Hanapi.

Namun, Kyrgyzstan yang agak perlahan sejak sepak mula mengejutkan anak buah Pan Gon selepas menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-42 menerusi pemain pertahanan Kairat Zhyrgalbek apabila beliau yang tidak dikawal tenang menyudahkan bola muntah tampanan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Dua minit kemudian, penyerang Ernist Batyrkanov meletakkan skuad 'The White Falcons' kendalian Stefan Tarkovic di depan apabila melepaskan rembatan menewaskan Ahmad Syihan selepas memanfaatkan kesilapan Cools yang gagal mengeluarkan bola hantaran jauh penjaga gol Erzhan Tokotaev.

Tokotaev bertindak cemerlang untuk menidakkan peluang Malaysia menyamakan kedudukan di awal babak kedua selepas beliau menyelamatkan dua percubaan berturut-turut Mohamad Faisal Abdul Halim dan Darren Lok dari jarak dekat pada minit ke-51.

Malaysia semakin tertekan apabila Kyrgyzstan melebarkan kedudukan menjadi 3-1 menerusi pemain gantian Kai Merk yang mudah menolak masuk bola ke gawang pada minit ke-57 selepas menerima hantaran pendek Erbol Atabaev.

Pan Gon membuat pertukaran dengan membawa masuk Endrick Dos Santos, Paulo Josue dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid dalam usaha mengubah rentak permainan dan kedudukan.

Percaturan itu membuahkan hasil apabila terdapat perubahan dalam gerakan serangan pasukan negara yang tampak lebih segar sebelum berjaya merapatkan kedudukan selepas Khristiian Brauzman tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan hantaran leret Arif Aiman pada minit ke-72.

Cools memberikan kelegaan kepada pasukan negara selepas sekali lagi menanduk masuk bola sepakan penjuru Arif Aiman untuk menjadikan kedudukan 3-3 pada minint ke-77.

Stadium Nasional 'bergegar' dengan sorakan penyokong apabila Mohamad Faisal yang menerima hantaran Arif Aiman tidak teragak-agak melepaskan rembatan dari jarak dekat untuk menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.

Ini merupakan kemenangan pertama Malaysia ke atas Kyrgyzstan dalam dua pertemuan selepas tewas 0-1 pada aksi persahabatan antarabangsa di Melaka pada 2018.

Kejayaan itu juga menyaksikan anak buah Pan Gon meraih motivasi yang diperlukan menjelang aksi kedua bertemu Taiwan di Taipei, Selasa depan.

Malaysia ketika ini berada di kedudukan teratas dalam Kumpulan D dengan mengumpul tiga mata sementara satu lagi aksi kumpulan antara Oman dan Taiwan sedang berlangsung.

-- BERNAMA