PETALING JAYA: Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon menamakan skuad Malaysia pertamanya sebagai persiapan ke kelayakan Piala Asia, Jun depan.

Harimau Malaya dijadualkan ke Singapura dan bakal menentang Filipina pada 23 Mac, negara tuan rumah (26 Mac) dan Albirex Niigata FC Singapura (28 Mac).

Skuad itu dibarisi majoriti pemain Johor Darul Takzim (JDT) dengan 14 pemain, manakala Selangor, Terengganu dan Petaling Jaya City dengan masing-masing tiga pemain.

Sementara itu, tiga pemain yang berpangkalan di luar negara turut dipanggil iaitu pemain pertahanan SV Zulte Waregem, Dion Cools, pemain tengah Odisha FC, Liridon Krasniqi dan pemain muda KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin.

“Selepas menghadiri beberapa perlawanan liga sepanjang minggu ini, saya gembira untuk mengatakan bahawa kami telah mengenal pasti kumpulan pemain bagi membentuk pasukan yang berpotensi menjadi teras pasukan kebangsaan Malaysia.

“Sejak seminggu lalu, panel jurulatih telah duduk bersama dan membuat penilaian pemain berdasarkan prestasi mereka. Kami juga bercakap dengan jurulatih daripada pelbagai pasukan.

“Kami turut menilai maklumat tambahan berdasarkan statistik lepas dan minit permainan dalam perlawanan antarabangsa dari 2019 hingga 2021.

"Berdasarkan perlawanan liga, kami mengenal pasti kumpulan hampir 70 pemain sebelum memnyenarai pendek pemain yang kami percaya sesuai dengan falsafah permainan dan rancangan taktikal kami," kata Kim dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau juga menekankan biarpun kelayakan Piala Asia 2023 merupakan objektif ketika ini tetapi visi jangka panjang adalah untuk membangunkan cara permainan pasukan dan membina semula keyakinan pasukan.

Pasukan kebangsaan akan memulakan kem latihan pusat pada 14 Mac sebelum berlepas ke Singapura pada 22 Mac.