KUALA LUMPUR: Sejak kali terakhir beraksi pada November 2019, pasukan bola sepak negara seperti dijangka memerlukan masa dalam mencapai semula keserasian selepas tewas 1-4 kepada Kuwait pada aksi persahabatan antarabangsa tertutup di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) lewat malam tadi.

Selain menjadi medan menilai keupayaan setiap pemain, perlawanan di Stadium The Seven itu memberi peluang kepada Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe menentukan kombinasi terbaik menjelang cabaran sebenar, bulan depan.

Skuad Harimau Malaya akan menentang UAE pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) dalam saingan pusingan kedua Kumpulan G kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Bagi penulis, kekalahan itu menyerlahkan kekurangan skuad kebangsaan, selain menunjukkan kelemahan perlu segera diperbaiki dan ia sesuatu apa yang diinginkan Cheng Hoe dalam menyediakan skuad terbaik.

Pengendali berusia 52 tahun itu turut melakukan sembilan pertukaran pada separuh masa kedua perlawanan untuk memberi peluang kepada pemain mendapatkan semula rentak permainan selepas 18 bulan tidak beraksi sebagai sebuah pasukan.

Terdahulu, beliau menurunkan pemain sayap Muhammad Akhyar Abdul Rashid dalam kesebelasan utama pasukan untuk memberi peluang pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menutup kritikan berhubung pemilihannya bersama pasukan negara.

Selain itu, Cheng Hoe turut menguji kekuatan benteng pertahanan negara yang kehilangan khidmat pemain JDT Mohd Shahrul Mohd Saad dengan menggandingkan kapten pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak bersama pertahanan Kuala Lumpur City FC Muhammad Irfan Zakaria.

Aksi tersebut turut menyaksikan ketiga-tiga penjaga gol - Mohd Farizal Marlias, Muhammad Khairulazhan Mohd Khalid dan Samuel Jacob Somerville diberi minit permainan bagi membuktikan keupayaan sebagai benteng terakhir pasukan.

Dengan limpahan pemain berbakat, ditambah kehadiran beberapa tonggak baharu antaranya dua pemain naturalisasi Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula yang meledak gol tunggal pasukan negara semalam, sememangnya Cheng Hoe memerlukan masa melakukan penyesuaian pasukan.

Bagi penulis, kelemahan dan kekurangan yang terserlah dalam perlawanan menentang Kuwait itu akan dijadikan panduan dalam membina sebuah pasukan mantap untuk diuji sekali lagi pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Bahrain di Manama, Jumaat ini.

Berkongsi pandangan sama adalah bekas pemain tengah skuad kebangsaan Hairuddin Omar yang mengakui perlawanan persahabatan sentiasa dinantikan setiap ketua jurulatih bagi menguji taktikal dan strategi pasukan sebelum menghadapi cabaran sebenar.

"Walaupun keputusan perlawanan memainkan peranan, aksi malam tadi tidak boleh jadi ukuran untuk kita cepat menilai prestasi sebenar," katanya yang juga bekas penolong ketua jurulatih skuad Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan kepada Bernama, hari ini.

Dari aspek individu, Hairuddin berkata peluang diturunkan pada aksi pemanas badan perlu digunakan sebaiknya setiap pemain bagi membina semula persefahaman dalam pasukan, terutama selepas tidak beraksi sebagai sebuah pasukan dalam tempoh yang lama.

"Kita kena faham, 18 bulan satu tempoh yang lama, pemain memerlukan masa untuk menemui rentak. Saya harap mereka bangkit mempamerkan kualiti dalam aksi menentang Bahrain," kata beliau.

Ketika ini, skuad Harimau Malaya memerlukan sokongan padu 'ekor' nya dalam merealisasikan misi ke Piala Asia 2023 dan sebagai penyokong, mainkan peranan dengan bertanggungjawab bagi mengangkat moral pasukan negara untuk mencipta kejayaan bersejarah.

Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Piala Asia adalah ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007, namun sudah lebih 40 tahun Malaysia gagal meraih slot automatik Piala Asia sejak edisi 1980 di Kuwait.

Jika layak ke Piala Asia 2023 secara automatik menyaksikan Malaysia turut mara buat julung kalinya ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia sekali gus menghidupkan peluang untuk mengintai slot ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar.

-- BERNAMA