SUKAN
Harimau Malaya sah tarik diri Piala CAFA 2025

Harimau Malaya akan melaksanakan kem latihan penuh di Kuala Lumpur pada September sebagai alternatif bagi mempersiapkan pasukan menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2027 nanti. - Stadium Astro
PERSEKUTUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan bahawa skuad kebangsaan tidak akan menyertai kempen Piala Negara-Negara CAFA 2025.
Ringkasan AI
- Malaysia Tarik Diri daripada CAFA Nations Cup 2025: FAM mengesahkan skuad Harimau Malaya tidak akan menyertai kejohanan tersebut kerana tarikh baharu penganjuran jatuh di luar jendela FIFA, menyukarkan pelepasan pemain dan persiapan pasukan.
- Faktor Logistik dan Kebajikan Pemain Jadi Pertimbangan: Utama Jurulatih Peter Cklamovski menyatakan isu perjalanan jauh, kekangan penerbangan, keperluan pemulihan serta bajet turut mempengaruhi keputusan, terutamanya melibatkan pemain yang beraksi di luar negara.
- Kem Latihan Alternatif di Kuala Lumpur: Sebagai ganti, kem latihan penuh akan diadakan pada September sebagai persiapan menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2027 menentang Laos dan Nepal pada Oktober dan November.
"Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin memaklumkan bahawa skuad kebangsaan Malaysia tidak akan menyertai Piala Negara-Negara CAFA 2025.
"Sebagai sebuah pasukan kebangsaan yang berpandangan jauh dan strategik, setiap keputusan yang dibuat adalah berasaskan tanggungjawab terhadap kebajikan pemain, kerjasama erat bersama kelab, serta komitmen kepada kemajuan berterusan bola sepak negara.
"Walaupun pada awalnya kami amat berbesar hati dan teruja untuk menyertai kejohanan ini, perubahan terkini terhadap tarikh penganjuran yang kini jatuh di luar jendela antarabangsa FIFA telah menimbulkan cabaran besar dari sudut logistik, ketersediaan pemain, dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhan.
"Tarikh baharu kejohanan yang dikemas kini selepas undian rasmi dilakukan, iaitu dari 29 Ogos hingga 8 September, kini bermula di luar kalendar rasmi FIFA.
"Perubahan tarikh yang berlaku pada saat akhir ini memberikan cabaran segala aspek kepada skuad kebangsaan, memandangkan kelab-kelab tidak mempunyai kewajipan untuk melepaskan pemain mereka.
"Situasi ini secara langsung menjejaskan usaha kami untuk membentuk skuad terbaik bagi kejohanan tersebut, lebih-lebih lagi apabila beberapa pemain utama kami beraksi di liga-liga utama seperti Sepanyol, Argentina, Colombia dan Jepun."
Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, berkata: "Kita memiliki pemain yang beraksi di liga terkemuka dunia seperti Sepanyol, Argentina, Colombia dan Jepun. Untuk membawa mereka ke Tajikistan dalam masa yang singkat serta memastikan mereka bersedia beraksi pada tahap tertinggi adalah tidak realistik dalam jendela ini.
"Selain itu, isu logistik, keperluan pemulihan pemain, serta implikasi terhadap bajet keseluruhan turut menjadi faktor penting. Saya tidak mahu menjejaskan kebajikan serta kondisi pemain atau menyertai kejohanan dengan skuad yang tidak lengkap.
"Ini adalah satu keputusan yang tepat dan strategik. Fokus kami kini beralih sepenuhnya kepada kem latihan pada jendela September sebagai persiapan terbaik menjelang aksi penting pada Oktober dan November, perlawanan menentang Laos dan Nepal.”
"Selain isu pelepasan pemain, cabaran lain seperti perjalanan jarak jauh, kekangan penerbangan terhad serta keperluan mematuhi peraturan FIFA yang menetapkan rehat minimum 72 jam antara perlawanan turut membawa kesukaran tersendiri.
"Keutamaan harus diberikan untuk memastikan kondisi, prestasi dan konsistensi pemain serta pasukan tidak terjejas.
"Sebagai langkah alternatif, skuad kebangsaan akan melaksanakan kem latihan penuh di Kuala Lumpur pada bulan September. Kem ini akan menjadi platform utama dalam memperkukuhkan persiapan menjelang Pusingan Kelayakan Piala Asia yang semakin hampir.
"FAM memahami kekecewaan segelintir penyokong yang menantikan aksi Harimau Malaya dalam kejohanan serantau ini. Namun, keputusan ini dibuat setelah pertimbangan menyeluruh terhadap kepentingan jangka panjang skuad kebangsaan dan keperluan mengekalkan prestasi kompetitif yang mampan.
"FAM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur CAFA atas jemputan serta kefahaman mereka, dan mendoakan agar kejohanan ini berlangsung dengan lancar dan berjaya.
"Kami terus melangkah kehadapan, bersama. Jumpa anda di Kuala Lumpur pada September ini." ujarnya. -- Stadium Astro


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami