PEMAIN tengah, Jordan Henderson mengucapkan selamat tinggal kepada peminat Liverpool dalam video yang disiarkan di media sosial pada Rabu.

Ia sekali gus mengesahkan pemergiannya dari kelab itu selepas 12 tahun di Anfield apabila memuktamadkan perpindahan ke liga Arab Saudi bersama pasukan Al-Ettifaq.

Bekas kapten Liverpool itu dijangka akan menyertai Al-Ettifaq selepas kelab itu membayar yuran perpindahan dianggarkan £13 juta (RM76 juta).

“Sukar untuk menyatakan 12 tahun terakhir ini dengan kata-kata dan lebih sukar untuk mengucapkan selamat tinggal.

“Terima kasih untuk segalanya. You'll never walk alone,” katanya.

Henderson tiba di Anfield dari Sunderland pada 2011 dan membuat 492 penampilan dengan 33 gol dan 61 bantuan gol dalam semua pertandingan untuk Liverpool.

Pemain antarabangsa England itu turut membantu skuad kendalian Jurgen Klopp memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama mereka dalam tempoh 30 tahun pada 2020.

Dia juga mengetuai Liverpool merangkul kejuaraan Piala FA, Piala Liga, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab.

Henderson akan bergabung semula di Al-Ettifaq dengan bekas rakan sepasukan Liverpool, Steven Gerrard yang dilantik sebagai jurulatih dengan kontrak tiga tahun awal bulan ini. - Sinar Harian