KUALA LUMPUR: Jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan komited untuk bekerjasama dengan Ng Tze Yong bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Hendrawan yang sudah dua tahun membimbing Tze Yong berkata, beliau mempunyai tanggungjawab jelas untuk membantu pemain di ranking ke-14 dunia itu di Paris.

"Saya mempunyai misi jelas dengan Tze Yong. Saya kekal komited dengan tanggungjawab saya untuk membimbing Tze Yong untuk Olimpik Paris," katanya dalam kenyataan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam.

Kenyataan dibuat jurulatih berusia 51 tahun dari Indonesia itu sekali gus menepis khabar angin beliau akan meninggalkan BAM dalam masa terdekat.

Hendrawan yang memainkan peranan penting dalam membantu legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei merangkul pingat perak pada Sukan Olimpik 2016, mahu menumpukan kepada tugasan akan datang dan berazam untuk membantu Tze Yong.

"Proses kelayakan yang sedang berlangsung sangat kompetitif dan Tze Yong tidak perlukan sebarang gangguan pada peringkat ini. Kami akan bersama bagi mencapai matlamat kita," katanya.

Tze Yong meraih pingat perak dan membantu Malaysia meraih pingat emas acara berpasukan di Sukan Komanwel 2022, selain muncul naib juara Terbuka Artik di Vantaa, Finland, bulan lepas.

-- BERNAMA