Jika beberapa tahun kebelakangan ini jaguh terjun negara, Pandelela Rinong sering berada di luar negara untuk latihan intensif atau menyertai kejohanan semasa sambutan Hari Gawai.

Tahun ini atlet kelahiran Sarawak ini berada di Malaysia namun tetap tidak dapat merayakan Hari Gawai bersama keluarga tercinta disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut pemenang pingat perak temasya Olimpik Rio 2016 di Brazil bagi acara terjun 10 meter platform seirama wanita ini, tahun ini sama seperti tahun-tahun sebelumnya namun ia berbeza kerana ketika ini dia berada dalam negara.

“Sebenarnya saya sudah biasa tidak menyambut Hari Gawai kerana selalu berada di luar negara jadi sambutan ini sama seperti hari-hari biasa yang saya lalui pada tahun-tahun sebelumnya.

“Namun agak berbeza tahun ini kerana saya berada dalam negara tetapi masih tidak dapat bersama keluarga kerana PKPB ini,” katanya.

Menurut Pandelela, walaupun tidak dapat pulang ke Kuching, dia boleh menghubungi keluarganya menggunakan panggilan video.

“Saya bersyukur walaupun tidak bersama mereka meraikan Hari Gawai tahun ini tetapi dengan adanya teknologi, saya masih mampu menatap wajah mereka seterusnya melepaskan kerinduan,” tambahnya.