Tiada pasukan lain di Liga Super atau Liga Perdana yang rata-rata pemainnya adalah pemain yang berkaliber seperti Johor Darul Takzim (JDT) namun Pahang mempunyai aura yang berlainan bagi menangani pasukan dari Selatan tanah air itu.

Dalam lima pertemuan antara kedua pasukan sebelum ini, Pahang menang tiga dan seri dua, ini menunjukkan Pahang mempunyai kelebihan walaupun tidak dibarisi pemain seperti JDT.

Namun, ketua jurulatih JDT Bojan Hodak tidak merasa gentar akan rekod antara kedua pasukan ini bahkan yakin JDT mampu merobek gawang Tok Gajah pada Sabtu ini.

"Saya rasa tidak ada sebarang perbezaan ketara apabila kami menentang mereka sebelum ini," kata Hodak.

"Saya berpendapat kedua pasukan mempunyai peluang yang sama rata dan apa yang penting adalah siapa yang dapat merencanakan strategi berkesan bagi meraih kemenangan," tambahnya lagi.

Dalam perlawanan akhir yang akan berlangsung esok tumpuan pastinya terarah ke pemain penyerang kedua pasukan iaitu Matias Conti and Dickson Nwakaeme untuk Pahang dan Pereyra Diaz serta Figueroa untuk JDT.

Gandingan jentera serangan kedua pasukan ini mampu menggugat barisan pertahanan mana-mana pasukan lain.

Menariknya kedua pasukan ini mempamerkan aksi bola sepak menyerang dan ianya pasti menyukarkan jentera pertahanan pasukan masing-masing.

Ketiadaan Aidil Zafuan Razak pasti merencatkan benteng pertahanan dan kehilangan Nazrin Nawi akibat dilayangkan kad merah juga akan mengganggu rentak serangan JDT.

Hodak telah pun menjangkakan bahawa Aidil pasti tidak akan beraksi pada perlawanan akhir dan menerima keputusan FAM menolak rayuan pergantungan pemain itu.

Saksikan perlawanan akhir Piala Malaysia bermula dengan pra-rancangan pada jam 8.00 malam di Astro Arena saluran 801 dan 802 HD. Anda juga boleh menonton secara langsung di onthego.astro.com.my atay memuat turun aplikasi telefon pintar Astro-on-the-Go.