SUKAN
Hoki Piala Asia: Malaysian Tigress atasi Thailand 6-2

Malaysia kini raih dua kemenangan berturut-turut selepas menewaskan Singapura 5-1 semalam. - Foto FB Malaysian Hockey Confederation
KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita kebangsaan berjaya mencatatkan kemenangan kedua selepas mengatasi Thailand 6-2 pada perlawanan kedua peringkat klasifikasi tempat kelima hingga kelapan Piala Asia Wanita 2025 di Hangzhou, China, hari ini.
Ringkasan AI
- Skuad hoki wanita Malaysia tewaskan Thailand 6-2 dalam aksi klasifikasi Piala Asia 2025, selepas mendahului awal dan mengekalkan dominasi sepanjang perlawanan.
- Jaringan Malaysia disumbangkan oleh Khairunnisa Ayuni, Nurmaizatul Hanim, Nuramirah Shakirah (2 gol), Azmyra Mia Sofea dan Nur Afiqah Syahzani, manakala Thailand menjaringkan dua gol melalui Supansa Samanso.
- Malaysia kini raih dua kemenangan berturut-turut selepas menewaskan Singapura 5-1 semalam, dan bakal bertemu Taiwan pada aksi seterusnya Sabtu ini.
Semangat Malaysian Tigress kekal utuh apabila tidak menunggu lama untuk menambah jaringan hasil penyudah Nuramirah Shakirah Zulkifli pada minit ke-30 sebelum Azmyra Mia Sofea Azhari melebarkan kedudukan buat Malaysia lima minit berselang.
Thailand sekali lagi berjaya menembusi gawang pasukan negara apabila Supansa menyempurnakan penalti strok pada minit ke-42.
Bagaimanapun, Malaysia pantas menoktahi kemenangan apabila Nur Afiqah Syahzani Azhar meledak gol kelima pada minit ke-43 diikuti pukulan sudut penalti oleh Nuramirah Shakirah tiga minit kemudian.
Ketua jurulatih kebangsaan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berpuas hati dengan persembahan ditampilkan anak buahnya sambil berharap beberapa aspek penting dapat dibaiki menjelang aksi ketiga bertemu Taiwan pada Sabtu ini.
"Persembahan yang baik terutama apabila dari awal kita mencipta peluang dan menjaringkan enam gol, skor yang agak besar, walaupun kita lepaskan dua gol tapi kita masih boleh baiki kelemahan itu.
"Untuk aksi bertemu Taiwan kami akan membuat persiapan yang sama seperti bertemu Thailand. Beberapa perkara yang harus dilihat seperti penyudahan dan juga ketika bertahan, kita perlu perbaiknya," katanya dalam klip video dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia hari ini.
Semalam, anak buah Mohd Nasihin memulakan saingan dengan kemenangan 5-1 ke atas Singapura.
Malaysia sebelum ini gagal menempatkan diri dalam kelompok dua pasukan terbaik untuk mara ke pusingan "Super 4s" selepas menamatkan saingan Kumpulan A di tempat ketiga dengan tiga mata.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah kejohanan itu ialah tempat ketiga pada edisi sulung di Seoul, 1985.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami