Hukuman FIFA tidak jejas rentak Harimau Malaya benam Laos 3-0

Skuad kebangsaan menewaskan Laos 3-0 pada perlawanan ketiga Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 di Vientiane, malam ini. - Foto Facebook FAM
KUALA LUMPUR: Isu pendaftaran pemain yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menjejaskan semangat skuad kebangsaan apabila menewaskan Laos 3-0 pada perlawanan ketiga Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 di Vientiane, malam ini.
Ringkasan AI
- Malaysia menewaskan Laos 3-0 dalam Kelayakan Piala Asia 2027 hasil jaringan Arif Aiman, Dion Cools dan Faisal Abdul Halim.
- Walaupun kehilangan tujuh pemain warisan akibat hukuman FIFA, skuad Harimau Malaya tetap beraksi cemerlang di Vientiane.
- Kemenangan ketiga berturut-turut itu meletakkan Malaysia di tangga teratas Kumpulan F dengan sembilan mata.
Pemain sayap sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi terlebih dahulu menguji benteng pertahanan Laos pada minit ke-11, menyaksikan percubaannya tersasar selepas menerima hantaran Romel Morales, yang terlebih dahulu memanfaatkan kesilapan penjaga gol Kop Lokphathip.
Lima minit kemudian, tandukan Morales hasil sepakan percuma Arif Aiman sedikit melewati palang gol sebelum rembatan jarak dekat penyerang naturalisasi itu berjaya dihalang pertahanan Anantaza Siphongphan pada minit ke-21.
Morales sekali lagi berpeluang memecah kebuntuan pada minit ke-22, namun kuisan pantasnya untuk menyambar hantaran lintang Cools dari sebelah kanan tersasar ke kiri gawang.
Menjelang penghujung babak pertama, Malaysia yang dibimbing Peter Cklamovski mensia-siakan peluang terbaik apabila tampanan Morales dari jarak dekat hasil hantaran Cools tepat ke arah Lokphathip.
Jaringan yang ditunggu akhirnya tiba apabila rembatan leret Arif Aiman berjaya menembusi kawalan Lokphathip untuk membuka jaringan buat pasukan negara pada minit ke-53.
Tatkala disiplin permainan Laos semakin longgar, Cools menggandakan jaringan apabila meledak gol keduanya dalam kempen kelayakan ini untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia pada minit ke-68.
Pemain sayap gantian Mohamad Faisal Abdul Halim melengkapkan kemenangan 3-0 Malaysia apabila turut mencatat nama sebagai penjaring pada masa tambahan separuh masa kedua.
Pasukan negara akan melayani kunjungan Laos dalam aksi timbal balik di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini, Selasa depan.
Selepas tiga perlawanan, Malaysia kini mendahului Kumpulan F dengan sembilan mata, diikuti Vietnam di tempat kedua (enam mata), Laos di tempat ketiga (tiga mata), dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami