ZLATAN Ibrahimovic akan diketepikan selama sebulan selepas tidak membarisi Manchester United dalam aksi menentang Southampton yang berakhir tanpa jaringan di Old Trafford, awal pagi tadi.

Ibrahimovic tidak berada dalam skuad Jose Mourinho untuk pertembungan Liga Perdana Inggeris itu dan bekas pemain antarabangsa Sweden berkenaan dijangka berdepan rehat berpanjangan akibat kecederaan.

United kehilangan Romelu Lukaku yang mengalami kecederaan kepala pada minit kelapan dalam perlawanan itu dan Mourinho ditanya sama ada Ibrahimovic adalah penggantinya ketika ketiadaan pemain kelahiran Belgium itu.

Tetapi Mourinho, yang mengatakan tiada perkembangan lanjut mengenai keadaan Lukaku dalam masa terdekat, mendedahkan Ibrahimovic akan direhatkan selama sebulan, mengehadkan pilihan penyerangnya kepada hanya Marcus Rashford dan Anthony Martial.

"Ia sama (masalah lutut seperti sebelum ini)," kata Mourinho. "Masalah besar. Dia berusia 36 tahun dengan keadaan lutut yang teruk."

United bakal memasuki 2018 dengan 17 mata di belakang pendahulu, Manchester City, jika pesaingnya itu melebarkan rekod 19 kemenangan berturut-turut ketika menentang Crystal Palace malam ini.

Skuad Mourinho akan menghadapi Everton pada awal pagi Selasa sebelum berdepan Derby County dalam pusingan ketiga Piala FA, Sabtu ini.