Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan imbuhan tambahan RM200,000 bagi setiap pemenang pingat perak dan gangsa dalam temasya Olimpik Rio 2016 yang baru tamat.

Katanya, ia atas penghargaan kepada sumbangan para atlet yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas sukan paling berprestij itu.

"Walaupun kilauan emas hampir kita gapai, ini merupakan pencapaian terbaik negara dalam sukan Olimpik.

LAPOR LANGSUNG: Sambutan meraikan kepulangan atlet Olimpik negara

"Saya percaya Olimpik akan datang emas pasti menjadi milik kita," katanya semasa menyampaikan amanat dalam majlis sambutan kepulangan kontinjen negara di Kompleks Bunga Raya hari ini.

Untuk itu kata Perdana Menteri, beliau akan bertemu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan pihak berkaitan untuk memastikan impian emas di Tokyo pada 2020 nanti akan tercapai.

Pada majlis itu, hampir kesemua atlet dan juga pegawai, kontinjen Malaysia yang terlibat dalam Sukan Olimpik Rio 2016 tiba di Kompleks Bunga Raya KLIA, pada kira-kira 2:30 petang Khamis.

Ketibaan mereka melalui penerbangan Emirates EK408 dari United Kingdom juga disambut keluarga, rakan-rakan dan peminat.

Kontinjen Malaysia yang membawa pulang lima pingat kali ini merupakan kejayaan yang amat memberangsangkan berbanding dua pingat di Olimpik London 2012.