KAPTEN Argentina, Lionel Messi melengkapkan tandatangannya bersama Inter Miami dengan perjanjian yang akan mengekalkannya di Florida sehingga 2025, kata kelab Liga Bolasepak Utama (MLS) Amerika Syarikat tersebut.

Pemenang Ballon d'Or tujuh kali itu yang dijangka menyertai pasukan tersebut dalam masa terdekat, juga akan memegang status pemain francais, tambah kelab itu.

Malah Messi berusia 36 tahun menyifatkan: "Ini adalah peluang yang baik dan kami akan terus membina projek yang indah ini.

"Ideanya adalah untuk bekerjasama untuk mencapai matlamat yang kami tetapkan sendiri dan saya sangat berharap untuk dapat mula membantu di rumah baharu saya."

Messi dijangka membuat penampilan sulungnya Sabtu depan apabila Miami menerima kunjungan gergasi Mexico, Cruz Azul dalam perlawanan pembukaan Piala Liga.

Dalam pada itu, pemilik bersama Inter Miami, David Beckham berkata: "Saya bermimpi untuk membawa pemain terbaik dunia, pemain yang mempunyai cita-cita sama ketika saya datang ke LA Galaxy untuk membantu mengembangkan bola sepak di Amerika Syarikat seterusnya membina legasi dalam sukan yang kita sayangi ini.

"Hari ini impian itu menjadi kenyataan. Saya tidak hanya boleh berbangga pemain berkaliber Leo akan datang ke kelab kami, tetapi saya juga teruja mengalu-alukan rakan baik, orang yang luar biasa dan keluarganya yang cantik ke komuniti Inter Miami kami."

Penyertaan pemenang Piala Dunia menjanjikan peningkatan besar untuk bola sepak di Amerika Syarikat yang mana sukan ini berada dalam populariti di belakang liga profesional lelaki Amerika Utara utama lain.

"Kami sangat gembira kerana pemain terhebat di dunia memilih Inter Miami dan MLS, dan keputusannya adalah bukti momentum dan tenaga di sebalik Liga kami dan sukan kami di Amerika Utara.

"Kami tidak ragu-ragu bahawa Lionel akan menunjukkan kepada dunia bahawa MLS boleh menjadi liga pilihan untuk pemain terbaik dalam permainan," kata Pesuruhjaya MLS, Don Garber. - Sinar Harian