Ironman Langkawi: Syed Saddiq berjaya bawa pulang RM1 juta untuk rakyat Muar

Syed Saddiq berjaya tamatkan perlumbaan yang melibatkan disiplin berenang sejauh 3.8km, berbasikal 180km dan larian 42.2km dengan catatan masa 12 jam 22 minit 18 saat. - Instagram @syedsaddiq
LANGKAWI: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhasil membawa pulang sumbangan RM1 juta untuk kebajikan rakyat di kawasannya selepas berjaya mengharungi cabaran Kejohanan Ironman Malaysia di Langkawi, hari ini dalam masa kurang 13 jam.
Bekas Menteri Belia dan Sukan berusia 32 tahun itu berjaya menamatkan perlumbaan yang melibatkan disiplin berenang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal 180 km dan larian 42.2 km dengan catatan masa 12 jam 22 minit 18 saat.
"Saya datang ke sini dengan satu matlamat iaitu untuk mendapatkan RM1 juta untuk Muar... Alhamdulillah, saya berjaya merekodkan catatan masa bawah 13 jam, jadi sekarang Prima Valet perlu penuhi janji mereka iaitu RM1 juta untuk bank makanan, komputer riba dan baju raya.
"Saya akan lakukan apa sahaja untuk pastikan kebajikan rakyat saya dijaga dengan baik. Walaupun muntah beberapa kali kerana berasa kurang sihat, saya nekad untuk habiskan kerana rakyat Muar sentiasa dalam fikiran dan saya sama sekali tidak akan menghampakan mereka," katanya kepada pemberita selepas menamatkan kejohanan itu.
Beliau berkata larian merupakan disiplin paling mencabar buat dirinya, ditambah dengan keadaan dirinya yang berasa kurang sihat, namun gembira kerana dapat memperbaiki catatan masanya berbanding tahun lepas iaitu 13 jam 13 minit 50 saat.
"Saya sertai kejohanan ini kerana ingin cuba menguji kemampuan fizikal dan mental... tadi, saya terfikir mengapa saya menyeksa diri tetapi apabila berjaya melepasi garisan penamat, saya kata pada diri sendiri akan sertai lagi tahun hadapan.
"Kalau diberikan kudrat yang kuat, mungkin pada usia 100 tahun saya masih akan terus sertai sukan triathlon ini kerana mahu pastikan badan dan minda saya sentiasa cergas kerana untuk menjadi seorang pemimpin, tidak kiralah dalam bidang politik atau tidak, kita perlu berada dalam keadaan kuat sentiasa," katanya.
Sebelum ini, syarikat fesyen tempatan, Prima Valet berjanji akan menyumbangkan RM1 juta kepada penduduk Muar sekiranya Syed Saddiq berjaya menamatkan Kejohanan Ironman Malaysia dalam masa kurang 13 jam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


