Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengesahkan bahawa salah seorang atletnya telah gagal ujian doping dalam satu kejohanan antarabangsa baru-baru ini, lapor The Star.

Perkara itu telah diumumkan Timbalan Presiden persatuan itu, Datuk Norza Zakaria, selepas mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu tersebut.

Menurut The Star, Norza ketika di sidang media, enggan mendedahkan nama atlet terbabit sehingga keputusan sampel B telah keluar.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa ujian sampel B milik atlet itu akan dilakukan pada 4 atau 5 November nanti.

Jelasnya, persekutuan antarabangsa bagi sukan berkenaan telah memberi pilihan kepada atlet terbabit untuk memilih dua tarikh tersebut.

Misteri ikon sukan negara yang dikaitkan dengan isu positif doping terus tersebar sejak Isnin lalu.

Atlet itu dikatakan positif doping dalam satu kejohanan besar pertengahan tahun ini, apabila sampel A ke atas dirinya didapati positif baru-baru ini.

Bagaimanapun pengesahan mengenainya dan nama atlet terbabit hanya akan diketahui selepas ujian sampel B disahkan.