Selepas Brazil, Mexico, Belanda dan Chile mengesahkan kedudukan pertemuan mereka dalam pusingan kedua Piala Dunia tiba giliran pasukan dari Kumpulan C dan Kumpulan D pula akan bertarung untuk perlawanan penutup peringkat kumpulan.

Kumpulan C menyaksikan Colombia sudah pun menempah ke pusingan kalah mati manakala Ivory Coast, Jepun dan Greece akan bertarung untuk menyoroti satu lagi slot ke pusingan seterusnya.

Sandaran Asia, Jepun akan menghadapi satu misi sukar apabila akan bertemu dengan Colombia dan hanya kejutan kemenangan terhadap pasukan Amerika Selatan itu sahaja mampu membawa Jepun mara ke pusingan kedua.

Sudah tentu, jika Jepun menang sekali pun mereka perlu mengharapkan Greece menewaskan Ivory Coast dengan kemenangan tipis dan Ivory Coast yang dilihat berkelebihan untuk layak ke pusingan kedua sudah tentu akan menggunakan kelebihan itu untuk menjadi wakil Afrika pertama layak ke pusingan seterusnya.

Greece juga tidak mahu pulang tangan kosong dan akan sedaya upaya mengekang keupayaan Ivory Coast disamping mencipta jaringan yang besar sambil berharap Colombia membenam cabaran Jepun.

Jepun akan menyandarkan harapan kepada penyerangnya Shinji Okazaki, Shinji Kagawa dan Keisuke Honda manakala Colombia pula terus akan mengharapkan James Rodriguez dan Fredy Guarin untuk memusnahkan harapan Jepun.

Ivory Coast pula akan menyandarkan harapan kepada Gervinho dan Wilfried Bony manakala Greece pula akan mengharapkan Kostas Mitroglu dan Geiorgious Samaras.

Sementara itu, Kumpulan D menjanjikan satu persembahan yang menarik apabila Itali akan berentap dengan Uruguay bagi merebut satu lagi slot ke peringkat kalah mati mengiringi Costa Rica yang telah pun layak.

Itali dan Uruguay yang menjadi mangsa kejutan pasukan kerdil, Costa Rica pasti akan berusaha memberikan persembahan yang jitu untuk layak maka kelibat pemain-pemain seperti Mario Balotelli, Andrea Pirlo dan Lorenzo Insigne bagi Itali dan Luis Suarez, Edinson Cavani dan Cristian Rodriguez bagi Uruguay akan dinantikan peminat bola sepak seluruh dunia.

England yang sudah pun tersingkir mahu pulang ke London dengan bermaruah iaitu sekurang-kurangnya mencatatkan kemenangan menetang Costa Rica dan anak buah Roy Hodgson mahu melupakan dua siri kekalahan sebelum ini dengan cuba menewaskan Costa Rica.

Meski sudah layak ke kelompok 16 pasukan terbaik, Costa Rica mahu rekod tanpa kalahnya terus dijaga dan England bakal dijadikan mangsa ketiga selepas Uruguay dan Itali.

England dijangka akan menurunkan pemain-pemain yang tidak diturunkan pada perlawanan terdahulu seperti Frank Lampard, Luke Shaw dan Rickie Lambert manakala Costa Rica sekali lagi akan bergantung harap pada Bryan Ruiz, Joel Campbell dan Marco Urena.

RAMALAN ASTRO AWANI:
Jepun..1 Colombia..2,
Greece..1 Ivory Coast..3,
Itali..2 Uruguay..3,
Costa Rica..1 England..2