JURGEN Klopp memberi amaran kepada Liverpool bahawa mereka mungkin akan mensia-siakan segala harapan untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) seandainya mereka mempamerkan tanda-tanda kemerosotan sepanjang Krismas ini.

Permulaan mantap musim ini menyaksikan Liverpool mengukuhkan kedudukan untuk memburu kejuaraan liga sekalipun Klopp menganggapnya masih terlalu awal untuk diramalkan.

Selepas 14 perlawanan, The Reds mengumpul 31 mata untuk terus menghambat peneraju liga, Chelsea, dan satu mata dipisahkan dengan pencabar terdekat, Manchester City, sementara kelebihan tujuh mata dengan kelab di tangga keempat, West Ham.

Senario ketika ini menyaksikan mereka terbabit dalam saingan tiga penjuru, ia sekali gus menuntut Klopp memberi penekanan terhadap fokus mereka dalam lawatan ke Wolves, malam ini.

Kelab dari Merseyside itu memulakan kempen bulan ini dengan sihat apabila menang 4-1 ke atas musuh setempat yang sedang bergelut, Everton, kelmarin dan Klopp berharap kedudukan pasukannya tetap utuh dalam usaha mereka merampas semula trofi berkenaan daripada City.

"Adakah ia sudah memasuki perlumbaan kejuaraan? Saya tidak tahu. Ini adalah sebuah liga yang teramat bagus, berkualiti tinggi.

"Sungguh sukar untuk percaya betapa bagusnya anda ketika memenangi satu perlawanan," katanya dalam satu sidang media.


"Kami tidak akan mengesahkan gelaran liga pada November atau Disember tetapi kami mungkin mengalami kekalahan. Kami perlu sedia diturunkan dan fokus.

"Ini bermakna kami perlu menghambat semua orang, setiap pemain dalam setiap pasukan yang akan kami hadapi dari segenap penjuru serta pastikan ia menjadi satu-satunya azimat buat kami dalam semua perlawanan.

"Saya tidak dapat melihat lebih jauh tentang potensi kejuaraan tetapi jelas sekali ia sesuatu yang menarik."

 
Sumber Facebook stadiumastro