MOSCOW: Persatuan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Afrika (ANOCA) mengumumkan keputusannya yang memberi lampu hijau atlet Rusia dan Belarus untuk bertanding di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 di bawah bendera neutral, lapor Sputnik.

"Ahli sebulat suara memutuskan untuk menyokong penyertaan atlet Rusia dan Belarus dalam semua pertandingan antarabangsa," menurut ANOCA dalam satu kenyataan selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif di Nouakchott, ibu negara Mauritania pada Jumaat.

Kyiv dan beberapa negara Barat sebelum ini menggesa rakyat Rusia dan Belarus dikecualikan daripada temasya itu kerana konflik di Ukraine.

Pada Januari lalu, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa menyatakan bahawa tiada atlet patut dihalang daripada menyertai kerana pasport mereka. Majlis Olimpik Asia turut menyokong keputusan itu.

Ketua ANOCA Mustapha Berraf berkata keputusan ANOCA selari dengan pendirian Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dan presidennya, Thomas Bach.

"ANOCA menegaskan semula pendiriannya bahawa politik tidak boleh memberikan tekanan kepada sukan...sedangkan nilai teras sukan yang berakar umbi adalah untuk mewujudkan keamanan dan perpaduan.

"Atlet tidak boleh dipaksa membayar harga yang mahal untuk sebarang konflik walau apa pun dan di mana-mana sekalipun," katanya dalam kenyataan itu.

Menurut badan induk sukan Afrika yang mewakili 54 jawatankuasa Olimpik kebangsaan di benua itu, keputusannya akan tercatat dalam sejarah sebagai usaha untuk merobohkan halangan yang wujud antara politik dan sukan.

-- BERNAMA