ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor mengisytiharkan Ahad sebagai cuti khas peristiwa sempena kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala FA, pada malam Sabtu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengumuman itu bagi menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang memutuskan untuk mengisytiharkan 23 Julai 2023, sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat negeri berkenaan.

"Syukur Alhamdulillah di atas kejayaan pasukan JDT kerana berjaya merangkul Piala FA 2023 menentang Kuala Lumpur City FC dengan jaringan gol 2-0,

"Menjunjung kasih Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas segala perancangan serta usaha berterusan dalam membangunkan JDT menjadi sebuah kelab bola sepak yang disegani di Malaysia dan di rantau Asia.

"Kemenangan Skuad Harimau Selatan ini merupakan piala kedua untuk tahun 2023, setelah memenangi Piala Sumbangsih awal tahun ini, serta Piala FA ketiga buat JDT, selepas tahun 2016 dan tahun 2022.

"Buat semua peminat JDT, teruslah memberikan sokongan penuh dan menjadi pemain ke-12 untuk setiap perlawanan yang akan datang," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau pada malam Sabtu.

Tambah beliau, pemberian cuti ini juga merupakan penghargaan Kerajaan Negeri kepada pihak terlibat dan rakyat Negeri Johor yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Skuad Harimau Selatan sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Terdahulu, juara bertahan, JDT memastikan Piala FA terus berada dalam dakapan selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 2-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, pada malam Sabtu.

Dua gol hasil jaringan Shio Hong Wan dan pemain import, Leandro Velazquez pada babak kedua perlawanan itu sekali gus memastikan Piala FA berjaya dipertahankan buat dua musim berturut-turut.